MARIKH 21 Sept. – Kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan sedang berusaha untuk memansuhkan penggunaan tali keledar (seatbelt) serta lampu signal di seluruh negara bermula selewat-lewatnya 1 Januari tahun hadapan.
Beg udara (airbag) yang dipasang pada setiap kenderaan moden juga akan dikaji semula keperluannya dan mungkin hanya akan dipasang pada kenderaan tidak berenjin sahaja.
Selain itu, kerusi khas kanak-kanak (child seat) juga tidak akan dikuatkuasakan penggunaannya.
Ini berikutan daripada tuntutan demi tuntutan yang dibuat oleh rakyat Marikh dengan kerjasama alien dari planet Pluto melalui demosntrasi serta tuntutan melalui media sosial yang memaksa pihak JPJ Marikh untuk membuat keputusan drastik tersebut.
Untuk rekod, ramai rakyat Marikh tidak gemar memakai tali keledar serta memberi signal kerana menurut mereka ianya tidak perlu dan menyusahkan. Selain itu, tali keledar juga sangat merbahaya dan menyebabkan kecederaan ketika berlaku kemalangan.
Bagi seorang pemandu yang kami temui Encik Taufiki Al-Marikah berkata, tali keledar tersebut cumalah alat untuk pihak polis mengaut keuntungan dan memeras duit rakyat. Selain itu tali keledar juga tidak dapat menyelamatkan nyawa sekiranya takdir Allah sudah menentukan yang seseorang itu akan mati ketika kemalangan, ujar beliau lagi.
Bagi pemasangan beg udara pula, banyak rungutan daripada orang awam berkaitan keperluan pemasangannya di dalam kenderaan kerana banyak laporan tentang kematian berkaitan beg udara telah dilaporkan.
Beberapa hari lepas seorang kanak-kanak maut akibat terkena beg udara yang telah dilepaskan dari papan pemuka ketika kereta yang dipandu oleh bapanya berlaku kemalangan.
Orang ramai termasuk alien dari planet Pluto sangat marah dengan kejadian tersebut dan berharap beg udara di dalam semua kenderaan dapat dibuang segera dan diharamkan penggunaannya di dalam kenderaan persendirian.
Seorang wanita Puan Redhalah Al-Plutonah turut ditanya apakah kanak-kanak tersebut akan selamat sekiranya beliau duduk di dalam kerusi khas kanak-kanak (child seat) di tempat duduk belakang?. Jawapan yang diberikan adalah sama iaitu, kematian tersebut adalah takdir yang telah ditetapkan dan beg udara atau child seat hanyalah asbab semata-mata.
Ibu bapa tersebut perlu redha dan berfikiran positif kerana anak mereka tersebut akan menjadi kunci kepada syurga kedua ibu bapa mereka nanti, tambah beliau lagi.
Pihak JPJ Marikh ketika ditemui bagi memberi ulasan tentang perkara ini tidak mahu memberikan sebarang ulasan lanjut kerana perkara ini masih lagi di peringkat perbincangan.
Namun usaha yang gigih sedang dilakukan bagi memastikan kesemua ciri-ciri keselamatan tersebut tidak dikuatkuasakan dan dibuang dari seluruh kenderaan di Planet Marikh secepat mungkin.
################################
Tudiaaa..berita dari planet Marikh.
Betul ke tidak ni?
ENTAHLAH..saya tidak tahu.
Apa yang saya tahu ialah korang jangan ikut perangai orang planet Marikh ni.







Leave A Reply