Ramai sungguh yang berkongsi kisah saya hari ini. Terima kasih semuanya. Semoga ada iktibar yang dapat dikutip sebagai persediaan kehilangan pasangan.
Terima kasih juga atas doa yang baik-baik untuk saya dan anak-anak serta arwah isteri. Semoga doa orang baik-baik seperti kalian semua diperkenankan olehNya.
Mohon maaf juga kerana tidak dapat membalas semua komen kerana terlalu banyak. Saya hanya mampu baca dan like sahaja.
Ketahuilah yang saya juga adalah manusia seperti kalian. Ada perasaan, ada emosi, ada jiwa yang rapuh bila kehilangan.
Saya sering juga menangis, kerinduan, kesunyian, keletihan dan macam-macam gelodak perasaan.
Namun itu tidak bermakna saya lemah, tidak kuat, tidak tabah, tidak sabar dan tidak menerima takdir.
Bukan, bukan begitu.
Saya kadangkala menangis untuk melepas rasa yang membungkam jiwa. Itu sahaja. Ianya membuahkan kelegaan yang besar untuk saya.
Dan ketahuilah, membesarkan 3 orang anak kecil ini adalah perkara paling “tough” di dalam hidup saya. Rutin harian semuanya perlu diurus sendiri.
Tidur pula merupakan satu kemewahan.
Namun, uruskan rutin serta makan dan pakai ini sebenarnya tidak menjadi masalah buat saya. Paling mencabar adalah untuk menguruskan emosi mereka.
Tantrum bersilih ganti, meminta-minta ibu juga perlu ditangani, banyak soalan berkaitan ibu juga memerlukan jawapan pasti.
Akhirnya saya pula yang sentiasa turut tenggelam di dalam emosi mereka.
Semoga kami baik-baik sahaja.
Terima kasih semuanya.
.







Leave A Reply