Di Jerman, sukar sekali melihat atau hampir tiada langsung kelibat anak-anak berusia sekitar 12 tahun ke bawah berkeliaran di bandar atau kawasan perumahan usai jam 8-9 malam. Hari biasa atau hujung minggu sama sahaja.
Waktu tersebut anak-anak sudah bersiap untuk tidur. Jam 3 pagi tu, bandar-bandar semuanya sunyi sepi. Bilangan kereta yang lalu lalang boleh dikira dengan jari. Mungkin sebuah setiap setengah jam.
Untuk melihat orang dewasa berkeliaran pun amat sukar, apatah lagi melihat kanak-kanak kecil bermain-main di kawasan jalan. Hujung minggu sahaja keadaan sedikit hiruk-pikuk namun kelibat kanak-kanak hanya dapat dilihat sehingga jam 8-9 malam sahaja.
Bagi ibu bapa yang membawa anak keluar berjalan-jalan sekitar melebihi jam 9 malam akan dipandang serong oleh ahli masyarakat. Biasanya akan menerima teguran dan kebarangkalian untuk dimarahi oleh orang ramai adalah sangat tinggi.
Itu cerita orang Jerman.
Hadlaju kenderaan yang dibenarkan di dalam kawasan bandar adalah 50kmj. Masuk sahaja ke kawasan bandar maka akan terpampang jelas tanda amaran hadlaju 50kmj.
Papantanda ini berselerakan di seluruh bandar bagi memberi peringatan yang hadlaju tidak boleh sama sekali melebihi kelajuan tersebut.
Kamera perangkap hadlaju dipasang di semua jalan-jalan utama di bandar. Tiada kamera untuk perangkap lampu merah tapi untuk perangkap hadlaju.
Di kawasan perumahan pula hadlaju maksimum adalah 30km/j. Jangan sesekali melebihi hadlaju tersebut kerana kamera juga di pasang di kawasan-kawasan strategik.
Dengan hadlaju tersebut, reaksi pemandu dan tindakan membrek akan memberikan kesan optimum bagi menyelamatkan nyawa.
Orang Jerman tidak memandu laju di kawasan bandar, perumahan dan terutama sekali di kawasan sekolah.
Namun di lebuhraya mereka “champion” kerana kebanyakan jajaran di lebuhraya mereka yang dipanggil Autobahn tidak mempunyai hadlaju yang ditetapkan (no speed limit).
Itu cerita di Jerman lah.







Leave A Reply