• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

‘Child Seat’ Wajib Digunakan Di Malaysia

09/05/2015

Sudah hampir 4 bulan saya tidak menulis kerana kesibukan yang amat sangat. Namun saya terpanggil untuk menulis selepas membaca mengenai tragedi menyayat hati bayi yang maut akibat tercampak keluar dari kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalanraya di KL kemudian selepas itu di Johor pula. Ajal atau kematian sudah ditakdirkan atau ditentukan oleh Allah SWT namun punca atau penyebab kematian tidak boleh diserahkan kepada takdir.

Kita biasa melihat bayi dipangku atau diriba oleh ibu di tempat duduk hadapan ketika si ayah memandu. Kita juga sering melihat anak kecil duduk di tempat duduk hadapan manakala si ibu di belakang. Kita juga kerap melihat dua atau tiga orang anak duduk di hadapan bermain-main ketika si ibu atau bapa memandu dan yang paling tragis bagi saya adalah melihat ibu atau bapa memangku atau meriba anak ketika sedang memandu.

Baru-baru ini viral di facebook bagaimana seorang ibu memangku anaknya ketika sedang memandu dan beliau berkata anaknya lebih selesa begitu. Beliau tidak suka mendengar anaknya menangis kerana kasihan dan katanya lagi beliau tahu apa yang terbaik buat anaknya.

Murahkah nyawa anak kita?

Kadangkala dapat lihat si ibu dan ayah memakai tali pinggang keselamatan namun anak dibiarkan di belakang bermain, berdiri, melompat dan sebagainya. Kadangkala si anak berulang-alik dari tempat duduk belakang ke depan dan kembali. Agak “selfish” bagi si ayah dan ibu yang nak selamat dengan memakai talipinggang keselamatan dan anaknya dibiarkan menghadapi risiko kecederaan.

Di Jerman, anda tidak dapat melihat kanak-kanak bawah 12 tahun di tempat duduk hadapan.

Adalah sukar sama sekali melihat kanak-kanak duduk di hadapan kerana hampir tidak ada kanak-kanak dibenarkan oleh ibu bapa duduk di hadapan. Undang-undang mewajibkan setiap kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dengan ketinggian kurang dari 150cm duduk di belakang dengan menggunakan “child seat” bagi bayi dan “booster seat” bagi kanak-kanak.

Walaupun anda hendak menaiki teksi, tanpa “child seat” teksi tidak akan membawa anak anda. Namun sesetengah teksi ada menyediakan “child seat” atau “booster seat” untuk penumpang kecilnya.

Sekiranya anda baru melahirkan anak di hospital dan hendak membawa bayi anda pulang ke rumah, anda akan diperiksa samada memiliki “child seat” atau tidak, sekiranya ada maka anda haruslah meletakkan bayi di dalam “child seat” sambil diperhatikan oleh nurse dan setelah mereka berpuas hati barulah anda dibenarkan membawa bayi keluar. Itu adalah pengalaman saya sendiri dan rakan-rakan lain yang melahirkan anak di sini.

Di Jerman orang tidak takut pada polis namun takut akan kehilangan nyawa anak masing-masing. Selain itu, kalau kecederaan atau kematian anak yang terlibat dalam kemalangan jalanraya dan didapati tidak menggunakan child seat atau menggunakan child seat yang tidak diiktiraf (tak dapat cukup bintang) maka anak tersebut tidak dilindungi insurans.

Mahalkah harga “child seat” berbanding nyawa anak?

Mengikut kajian saya, harga child seat di Malaysia adalah serendah RM150.00 sahaja. Walaupun mungkin yang murah itu kualitinya agak kurang sedikit berbanding yang lebih mahal dan berjenama, namun ia sudah cukup untuk membantu menyelamatkan bayi anda sekiranya berlaku kemalangan.

Screen Shot 2015-05-09 at 01.04.56

“Susahlah, anak tidak mahu duduk. Nanti dia menangis.”

Itu adalah jawapan biasa yang kita dengar. Kenapa begitu? Bayi adalah sama sahaja di mana-mana. Tak kiralah bayi itu di Jerman ataupun di Malaysia, fitrahnya adalah sama. Kenapa bayi di Jerman boleh duduk di dalam child seat? namun bayi di Malaysia meronta-ronta, mengamuk-ngamuk hendak keluar? Namun ada juga bayi atau kanak-kanak di Malaysia yang elok sahaja duduk dalam child seat?

Bayi atau kanak-kanak perlukan latihan. Perlu di ajar. Tak semestinya sekali ajar sudah berjaya, ada yang perlu 3-4 kali ada yang perlu berbelas kali dan ada yg mungkin perlu beratus kali. Kuncinya adalah membiasakan anak di dalam child seat.

Anak saya Khaleef juga pada mulanya agak sukar untuk membiasakan dirinya. Saya mengambil petua orang Jerman iaitu kalau anak menangis minta keluar, biarkan sahaja. Lambat laun dia akan menyerah kalah atau gave up. Dia tahu tangisan tidak akan berjaya mengubah fikiran ayah dan ibunya untuk membenarkan dia keluar dari child seat tersebut.

Setelah berbulan-bulan juga mencuba di mana saya terpaksa kerap berhenti di tepi lebuhraya dan sebagainya apabila beliau menangis secara ekstrem bagi menenangkannya dan menyambung semula perjalanan dan akhirnya Alhamdulillah saya berjaya. Kalau memandu jauh, setiap 1-2 jam perjalanan saya akan berhenti untuk keluarkan dia daripada kerusi tersebut, berehat sebentar dan teruskan perjalanan.

Kemalangan tidak berbau.

Walaupun dalam kelajuan 40km sejam, apabila kemalangan atau “head on collision” berlaku, kelajuan tersebut boleh membunuh si anak tadi. Apatah lagi dalam kelajuan tinggi sekitar 80-100km sejam. Impak pelanggaran di dalam kelajuan tersebut menyebabkan bayi atau anak boleh tercampak keluar melalui cermin hadapan. Risiko kematian adalah sangat tinggi.

Kadangkala kita cermat memandu akan tetapi orang lain pulak yang menyebabkan kita kemalangan.

Dengan adanya dan penggunaan child seat yang betul maka anak atau bayi anda akan melekat di tempat duduknya walaupun kereta tersebut berpusing atau bergolek dan sebagainya. Dengan dibantu oleh sistem keselamatan kereta atau beg udara, maka peluang untuk anak anda selamat adalah lebih tinggi.

Dua pertiga daripada kecederaan atau kematian bayi akibat kemalangan jalanraya berlaku di Asia Tenggara.

Mengikut statistik WHO dan UNICEF, banyak kematian bayi berlaku akibat kemalangan yg berlaku di negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Sweden merupakan negara yang paling rendah kadar kematian bayi akibat kemalangan jalanraya ini.

Saranan serta tips saya kepada ibu bapa yang ingin berubah.

1. Dapatkan child seat untuk anak anda. Kalau bukan untuk semua anak, sekurang-kurangnya untuk bayi atau anak yang berusia 5 tahun ke bawah.

2. Kalau tidak mampu beli yang baru boleh beli yang terpakai. Boleh cari secara online di mudah.my atau di lazada dengan harga serendah RM150.00

3. Latih anak anda menggunakan child seat walaupun hanya memandu jarak dekat untuk ke kedai dan sebagainya. 

4. Sediakan mainan, atau ipad/tab (bagi yang mampu) untuk mengurangkan keresahan anak anda.

5. Wujudkan perasaan hakmilik (sense of belonging) anak-anak terhadap child seat nya. Boleh decorate atau tuliskan nama dan sebagainya bagi anak-anak merasakan bahawa seat tersebut kepunyaannya.

6. Bagi bayi di bawah 8 bulan – sentiasa pastikan suhu di dalam kereta tidak terlalu panas atau sejuk. Bayi pada umur tersebut masih sukar untuk regulate suhu badannya, jadi apabila suhu di dalam kereta tidak sesuai maka dia akan tidak selesa dan mula menangis, meronta dan sebagainya. Sentiasa pastikan sinaran matahari tidak terkena secara terus kepada bayi terutama matanya. Sentiasa bercakap dengan bayi kerana suara ibu atau bapa akan sentiasa menenangkan bayi. Usah panik ketika bayi menangis keterlaluan, cari tempat yang selamat dan berhenti untuk tenteramkan bayi.

7. Bagi anak yang sudah boleh berjalan atau bercakap (toddler) pula, sentiasa ingatkan mereka tentang keperluan untuk terus berada di tempat duduk tersebut. Sediakan banyak mainan untuk mereka bagi mengalih perhatian spt soft toys, buku, flash card, ipad, tab dan sebagainya. Sentiasa berkomunikasi dengan mereka samada dengan pertanyaan, nyayian dan sebagainya.

8. Bagi anak yang sering menangis, minta perhatian, menjerit dan sebagainya – sentiasa beri peringatan kepada mereka ketika meletakkan mereka di tempat duduk. Katakan yang seat tersebut sangat penting untuk mereka dan sentiasa beri pujian sekiranya mereka bekerjasama. Selepas memandu selama beberapa minit dan mereka masih diam dan tenang maka beri pujian lagi dan seterusnya. Sekiranya mereka ada mainan yang digemari maka simpanlah mainan tersebut di dalam kereta supaya mereka seronok dan ternanti-nanti untuk berada di dalam kereta.

Bagi anak yang sudah pandai duduk sendiri dan tahu pasang talipinggang sendiri, biar mereka lakukannya setiap kali dan pujilah mereka setiap kali mereka selasai memasang tali keselamatan tersebut. Ini akan membuatkan anak anda merasa mereka berjaya membuat sesuatu yang bagus.

Sekiranya anak masih lagi tidak terkawal, menangis, menjerit dan sebagainya maka apabila sampai ke destinasi maka berikan mereka “time out” iaitu arahkan mereka duduk atau berdiri mengadap dinding atau penjuru selama beberapa minit untuk mendisplinkan mereka.

IMG_5738

Ubahlah sebelum terlambat.

Ada orang akan cakap, saya dah 6 orang anak, semuanya tak pernah guna child seat dan semua ok jer. Alhamdulillah bersyukur lah kepada ALLAH kerana anda sekeluarga sihat sejahtera. Bagi yang sudah kehilangan anak atau ahli keluarga akibat kemalangan jalanraya, pasti tahu bagaimana rasanya dan tahu betapa pentingnya pennggunaan talipinggang keselamatan dan juga child seat untuk anak-anak.

Kalau tak ada “child seat” bagi anak-anak yang sudah besar, ajarlah mereka pakai talipinggang keselamatan. Sebelum itu, ibu dan bapa kena ubah diri mereka terlebih dahulu – sentiasa pakai talipinggang keselamatan walaupun memandu jarak dekat, barulah boleh menjadi contoh kepada anak-anak.

Janganlah sudah terantuk baru nak terngadah. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur.

—————————————————————————————————————————————–

Kepada pihak berwajib, rasanya sudah sampai masanya undang-undang penggunaan child seat ini dikuatkuasakan.

Adakah anda rasa penggunaan child seat ini patut diwajibkan di Malaysia?

ENTAHLAH..I Dont Know, for me it’s mandatory. Period!

khairul signature

baby seatbayi kemalangan mautpenggunaan child seattips penggunaan baby seattips untuk anak duduk dalam baby seat
Share

Believe It or Not  / Blog  / Experience  / Knowledge  / Lesson

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

16 Comments


suziana mohd tahir
09/05/2015 at 8:04 am
Login to Reply

Slm tuan, bagaimana pula utk keluarga berpendapatan rendah yg mempunyai ramai anak2 yg masih kecil. Mereka hanya ada sebuah kenderaan yg kecil. Di mana hendak diletakkan ‘baby/child seat’ ini utk sesuatu perjalanan?



    Khairul Abdullah
    09/05/2015 at 8:25 am
    Login to Reply

    Puan Suziana,

    Sebuah kereta kecil seperti kancil, viva, myvi maupun kereta sederhana seperti proton saga dan juga kereta besar seperti mercedes dan bmw hanya membenarkan 5 orang penumpang berada di dalam kereta pada satu-satu masa.

    Ini kerana terdapat hanya 5 talipinggang keselamatan.

    Bagaimana dengan keluarga yang mempunyai 5 orang anak? dan tentu jadi 7 kesemuanya termasuk ibu bapa bukan? sudah tentu tidak muat untuk kesemuanya. Jadi usahlah sumbat kesemuanya di dalam sebuah kereta kerana ia sangat merbahaya.

    Dapatkan 2 buah child seat untuk 2 orang anak yg paling kecil dan anak yang sudah besar sedikit boleh duduk di tengah-tengah dan pakai tali kaledar. Lagi 2 orang anak yang sudah besar boleh naik bas, atau keretapi, atau ibu boleh temankan mereka naik bas kalau nak balik kampung contohnya.

    Kalau setakat travel jarak dekat maka 2 orang terpaksa tinggal di rumah.

    Di Jerman, tidak ada kereta yang membawa lebih dari 5 orang termasuk bayi kecil. Kalau 7 orang maka terpaksa naik mpv atau kenderaan lain yang mempunyai 7 tempat duduk.

    Saya faham keperluan orang yang susah dengan anak yang ramai untuk memiliki child seat dan juga untuk travel serentak bersama. Bagi saya, lebih baik tidak travel dengan lebih muatan daripada merisikokan nyawa kesemua anak-anak.

Afzan Azhari
18/05/2015 at 2:43 am
Login to Reply

betul tu. saya yg baru ade 2 anak berumur 4 dan 1 tahun. bile dah pakai baby seat dan booster seat..terpakse redha sempit kereta.



Mohd Amirul
21/05/2015 at 5:00 am
Login to Reply

Salam tuan,

Saya amat bersetuju dengan pandangan tuan berkenaan dengan perkara ini. Saya juga merasakan sudah tiba masanya penggunaan “child seat” dikuatkuasakan di Malaysia. Saya mempunyai 2 orang anak, Alhamdulillah kedua-dua sangat suka duduk dalam “child seat” masing-masing. Mula-mula memang agak susah tapi lama-kelamaan mereka terima keadaan tu dan kini mereka seronok duduk dalam “child seat” even untuk perjalanan yang singkat.

Terima kasih atas perkongsian tuan.



Tfq Sni
21/05/2015 at 3:33 pm
Login to Reply

Tuan,

Bukan kah untuk bayi kecil kita kena rear facing dan bukannya front facing. Berdasarkan pembacaan dan video ujian mengatakan risiko kecederaan front facing lebih tinggi berbanding rear facing. Ada carseat tetapi masih salah pengunaan pun tak boleh juga. Sekadar perkongsian. Maaf kalau salah.



Khairul Abdullah
04/06/2015 at 2:44 pm
Login to Reply

Ye benar. Risiko kecederaan pada bayi yg duduk di rear facing adalah 1/10,000 berbanding front facing. Kedudukan ini adalah bergantung dengan jenis seat yg digunakan, umur, berat dan ketinggian bayi serta undang yg ditetapkan oleh negara yg didiami.

Di sini kanak2 duduk dalam seat yg dikhaskan berdasarkan kumpulan tertentu mengikut faktor di atas. Bayi yg berusia 15 bulan keatas dah dibenarkan duduk di dalam front facing seat namun haruslah di tempat duduk belakang dan bukannya di depan.

Untuk bayi saya, rear facing seat beliau sudah tidak lagi muat untuknya – yakni sudah terkeluar dari golongan atau kumpulan yg perlu duduk di dalam rear facing seat.

Di Amerika, undang2 menetapkan yg kanak2 mestilah duduk di dalam rear facing seat sehingga berusia 2 tahun atau apabila besar bayi melebihi seat tersebut.

Wallahualam.



Khairul Abdullah
04/06/2015 at 2:45 pm
Login to Reply

Kita redha jer demi keselamatan anak2. Saya lagi kena redha sebab kereta saya 2 pintu saja, lagilah sempit dan semput 🙂



Chen Glnovia
05/06/2015 at 3:38 am
Login to Reply

safe car chair is very important for kids,. that is really true ,but you need to have a kid first hah a http://www.robesdemariee2013.com/robe-de-mari%c3%a9e-c-632/shopby/princesse_11722.html



farisya
05/06/2015 at 12:35 pm
Login to Reply

ye betul tu..kena biasakan sejak dari baby..barulah mereka tak berkira sangat untuk duduk dalam car seat je…



Suhailey Mohd Noor
01/07/2015 at 10:00 pm
Login to Reply

sangat penting car seat ni
tak faham macamana parents boleh beriya kata sayang anak tapi bila dalam kereta tak provide carseat *pengsan



Khairul Abdullah
02/07/2015 at 8:37 pm
Login to Reply

Suhailey Mohd Noor Tu lah..saya pun tak faham.



Mulan
06/07/2015 at 4:49 pm
Login to Reply

Child seat memang perlu.. Mencegah lebih baik.. Tapi yg paling tak tahan kalau ada toddler di pangku mak/ayah sewaktu mereka sedang memandu..!!



suriyamajid
08/07/2015 at 6:39 pm
Login to Reply

mungkin dah tiba masanya malaysian lebih serious pasal ini, termasuk saya sendiri



蘇查妮
17/08/2015 at 8:27 am
Login to Reply

Amboi khaleef mcm big boss duduk kat blakang tu 🙂
Salam khairul, lama benar tak singgah sini…



Khairul Abdullah
18/08/2015 at 3:26 pm
Login to Reply

Haha, macam tu lah nampaknya. Bersenang2 jer dia kat blakang. Saya pun dah lama tak jenguk rumah awak. Baby Maryam apa habaq??



Ab Sukor Akup, DBKL
23/03/2016 at 2:31 pm
Login to Reply

perangai kebanyakan orang malaysia memang pelik sikit..macam handal sangat bawa kereta….cilok sana cilok sini..tak dapat kawal perasan lebih lebih bila ketika memandu..cepat marah.pantang dicabar….tetapi ye memang handal di jalaraya..akan tetapi bila time lumba sebenar ..cair pulak tu….placing pun fail…agaknye , En Khairul..pasal banyak makan bahan perasa seperti belacan kut..agaknye…



Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved