Hari ini genap setengah tahun pemergian isteri.
Pergi meninggalkan saya bersama 3 orang anak kecil. Seolah baru sahaja beberapa minggu lepas berlaku, padahal sudah agak lama.
Sepanjang setengah tahun ini, saya dan anak-anak harungi segalanya tanpa dia. Walaupun berat amanah yang dipikul, saya gagahkan juga. Besarkanlah anak-anak dengan kedua-dua tangan you sendiri, pesan dia.
Jadi, saya tolak permintaan mak untuk ambil cucu-cucunya.
Saya besarkan sendiri seperti yang dipinta. Saya uruskan sendiri semuanya. Biarlah penat, biarlah lelah saya harung juga. Saya berikan yang terbaik. Saya cuba sedayanya.
Namun bohonglah jika saya kata semuanya baik-baik belaka.
Ada juga suka dan dukanya, ada gelak tawa dan juga tangisannya, ada kasih sayang dan juga amarahnya. Saya manusia biasa, ada rasa penat, ada rasa marah, ada rasa kecewa. Kadang-kadang terlepas pada anak-anak.
Kasihan mereka.
Namun saya belajar. Saya belajar mengawal, saya belajar memujuk, saya belajar segalanya. Saya belajar menjadi seorang ayah dan juga seorang ibu yang paling baik buat mereka bertiga.
Doakan saya.
Selain itu, saya rasa fasa pertama kehidupan saya tanpa isteri dan anak-anak tanpa ibu telah berjaya kami lalui. Anak-anak sudah pandai mengawal emosi, saya sendiri sudah mahir melakukan segalanya seorang diri.
Alhamdulillah.
Saya yakin dia akan bangga dengan kami.
Betapa kami boleh lalui semuanya tanpa dia di sisi. Betapa apa yang dia hajati kami telah sedaya upaya cuba penuhi. Betapa kasih sayang, rindu dan kenangan kami pada dia akan dibawa sampai ke mati.
Terima kasih kepada semua yang sering mendoakan saya dan anak-anak. Semoga kalian juga beroleh segala apa yang didoakan buat kami.
Semoga fasa kedua kehidupan kami selepas ini akan sentiasa diiringi doa dari kalian semua.
Terima kasih.







Leave A Reply