Saya memandu hampir 4 tahun di Jerman dan tidak pernah sekali saya melihat mereka memandu di lorong kecemasan ketika jem. Sepanjang tempoh yang sama saya memandu sekitar Eropah dan juga UK namun tidak pernah juga saya melihatnya.
Mungkin ada yang berbuat demikian namun sebab tak ramai yang buat maka ianya sangat sukar dilihat.
Kenapa begitu?
Sebab orang di sana memandang serius kesalahan tersebut. Di Jerman, lorong kecemasan yang dikenali sebagai “hard shoulder” atau bahu jalan itu adalah hanya untuk berhenti jika ada kecemasan.
Ambulan dan kenderaan keselamatan seperti polis dan bomba juga tidak menggunakan lorong kecemasan, sebaliknya lorong atau garisan tengah digunakan. Semua kenderaan akan beredar ke kiri dan kanan bagi membuka ruang di tengah. Itu termaktub di dalam undang-undang jalanraya.
Saya pernah melihat dan mengalami sendiri situasi ini beberapa kali di mana kenderaan keselamatan dan ambulan sangat lancar dan cepat sampai ke kawasan kemalangan.
Penunggang motorsikal juga tidak menggunakan lorong kecemasan sebaliknya menggunakan lorong biasa. Mereka juga tidak mencilok dan berhenti ketika trafik jem. Namun motorsikal di sana tidaklah banyak seperti di sini.
Kejadian penunggang motorsikal yang meninggal akibat kelewatan pihak ambulan sampai ke tempat kejadian sangat menyedihkan. Kalaulah sikap mengutamakan kenderaan keselamatan ada dalam diri setiap pemandu, maka kejadian tersebut tidak mungkin berlaku.
Di Malaysia, motorsikal sangat banyak dan mereka terdedah kepada bahaya. Menunggang di lorong kiri, bahaya lori yang banyak, di lorong tengah pula, kereta yang laju dan menukar lorong tanpa signal sangat membahayakan mereka. Jadi laluan yang paling selamat untuk mereka gunakan adalah laluan kecemasan tersebut.
Maka semua pemandu lain hendaklah bertimbangrasa dan memberi kelebihan lorong tersebut kepada mereka.
Jom kita praktikkan beberapa perkara mudah bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalanraya seperti yang di amalkan di negara lain.
1. Jika hendak berhenti di lorong kecemasan maka berhati-hatilah, pastikan yang tiada motorsikal terlebih dahulu, kerana mereka adalah pengguna lorong tersebut.
2. Rapatlah ke kiri sejauh mungkin dan tinggalkan sedikit ruang untuk penunggang motorsikal sekiranya boleh. Pasang “hazard light”.
3. Sebelum keluar kenderaan, pakailah ves atau jaket keselamatan yang berwarna hijau fluoresent tu (perlu ada dalam setiap kereta). Kemudian semua orang hendaklah keluar dari kereta dan tunggu di kawasan yang selamat di mana anda boleh lihat semua kenderaan lain.
4. Telefon pihak lebuhraya untuk memohon bantuan.
5. Jangan duduk berdekatan kenderaan kecuali ketika sedang cuba membaiki atau menukar tayar dan sebagainya. Jika ada anak dan isteri maka hendaklah berada di tempat yang selamat.
6. Tanda kecemasan seperti safety triangle atau apa saja objek yang mudah dilihat perlu diletakkan sekurang-kurangnya 50 meter dari tempat kenderaan berhenti atau 150 langkah kecil. Seeloknya 100 meter kalau di lebuhraya.
7. Letakkan tanda amaran jauh dari kenderaan. Jangan main patahkan ranting pohon dan letakkan di atas bonet kereta. tak berguna. Bila penunggang motorsikal atau kenderaan lain nampak ranting tu dah tak sempat untuk mereka mengelak. Letak sejauh 50 atau 100 meter dari tempat anda berhenti.
8. Jika kenderaan perlu ditinggalkan, pastikan “hazard light sentiasa terpasang”. Pihak peronda lebuhraya biasanya akan meletakkan kon keselamatan di kawasan tersebut.
.
.
Sama-samalah kita memandang serius perkara sebegini. Dengan meletakkan ranting kayu di tempat yang betul sudah cukup untuk menyelamatkan nyawa apatah lagi kalau diletakkan safety triangle yang ada pantulan cahaya atau ada lampu berkelip-kelip tu lagi bagus.
Bagi penunggang motorsikal pula, beringatlah. Menunggang tu jangan terlalu mencilok sana-sini. Pakai ves keselamatan, pasang lampu agar mudah dilihat dan hormat juga kepada pengguna jalanraya yang lain sepertimana anda ingin dihormati.
Bagi pengguna lorong kecemasan yang tegar, ingatlah hari ini ianya tidak berlaku kepada anda, entah esok atau lusa mungkin giliran anda.
Jadi hentikanlah tabiat memotong dan menggunakan laluan kecemasan. Ingatlah yang setiap kali anda menggunakan lorong tersebut, beribu orang mendoakan kecelakaan anda.
Nak ke orang mendoakan kecelakaan kita?
Entahlah…saya tak nak.







Leave A Reply