“Daddy, how to spell mommy’s name?”
Lalu saya pun ejalah untuk dia.
Lepas tu minta saya eja “Get well soon” pula. Kenapa pula nak tulis ‘get well soon’. Tak pernah dia sebut perkataan tu sebelum ni.
Seketika kemudian saya pun pergi tengok apalah yang dia tulis tu. Nampak sahaja apa yang dia lukis dan tulis maka fahamlah saya.
Dia rindukan ibunya. Dia lukis kubur ibunya.
Di bahagian atas kubur ada awan dan ada terlukis bentuk hati terbelah dua (heartbroken). Ada nama ibunya Marleena dan perkataan “Get Well Soon” di situ.
Sebuah batu nisan pula tertulis nama ibu dia berserta tulisan R.I.P. Mana dia belajar pun tak tahulah perkataan R.I.P tu. Di sebelah batu nisan ada gambar orang pegang sekop (shovel). Katanya itu daddy.
“Kenapa daddy bawa shovel ke kubur mommy?”
Dia senyap.
Terus baring di katil dengan mata berkaca.
Aduhai Khaleef.
Si adik pula berulang-ulang kali tengok video kami di Astro tu. Dia ulang-ulang scene ketika kami di kubur ibunya sampailah ke scene ada gambar baby.
“Daddy, daddy..” panggilnya sayu seketika kemudian.
Saya pun mendekati tubuh kecil itu. Kelihatan matanya digenangi air kemudian disusuli dengan esakan kecil. Saya memeluk erat.
“Kenapa adik?”
“Daddy, I want to go now and see mommy please” rayunya dengan esakan.
“Sekarang ni dah malam, esok yer kita pergi. Sekarang adik tidur dulu.”
Dia mengangguk perlahan.
Lalu tidurlah dia dengan linangan air mata.
Begitulah.
Bukan selalu mereka merindu. Setiap hari pasti ada menyebut tentang ibunya, namun itu sahaja. Sudah tiada emosi. Namun bila rindunya datang maka ianya tergambar jelas.
Si abang tidak boleh meluah melalui kata-kata, lukisan adalah medium dia melepas rasa. Si adik pula akan sentiasa meluah apa yang terbuku di dada.
Biarlah malam ini mereka tidur dengan mengulit dan mendakap kenangan bersama arwah ibu. Moga esok mereka ceria kembali seperti selalu. Begitulah selalunya.
Saya pula, saat-saat begini, dada akan sesak dan ketat menahan segalanya. Apatah lagi bila memandang wajah mulus 3 anak kecil yang tidur berteman air mata.
Saat beginilah saya berharap ada bahu untuk ditumpang dan berkongsi rasa.
Kadang-kadang seolah berharap agar ada bunyi derap kaki menghampiri ke pintu. Derap yang biasa kami dengar, yang sangat kami kenal.
Bila dibuka, akan ada wajah dan sosok yang sangat kami rindui, tersenyum seperti selalu.







Leave A Reply