• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Happy Mother’s Day Mommy, We Love You. Good Bye

12/05/2019

Awal pagi lagi kami sudah berada di pusara.

“Can both of you pray for your mommy?”

“We pray for mommy so that she can go to syurga?”

“Yes”

Bersama-sama kami membaca Al-Fatihah seterusnya saya pinta keduanya untuk berdoa.

“Ya Allah, please forgive my mommy and put her into syurga, Aminn.”

“Aminnn.” Saya turut mengaminkannya.

Lalu pusaranya mereka siram agar rumput dan pohon segar merimbun memayunginya.

“Happy Mother’s Day Mommy, we love you. Good bye.”

Abang dan adik ucapkan sambil memegang batu nisan ibunya mengikut seperti apa yang saya lakukan sebelumnya.

Kami pun perlahan beredar meninggalkannya dengan penuh kesunyian.

Jeda.

Saya masih ingat dengan jelas keterujaan saya membawa Khaleef yang ketika itu baru berusia 3 bulan lebih ke kedai membeli hadiah untuk ibunya.

Itulah Hari Ibu yang pertama buat dia.

Petangnya bila dia balik, seronok bukan main bila dapat hadiah Hari Ibunya yang pertama.  Hari yang dia nanti selama hampir 10 tahun selepas kami berkahwin.

Jelas terbayang kegembiraan di wajahnya.  Bukan main seronok dia menggomol anak kecil kesayangannya sambil membuka balutan hadiah.

Tahun-tahun seterusnya dia terus menerima hadiah di samping ucapan, pelukan dan ciuman penuh kasih sayang dari semua anak-anaknya.

Berebut-rebut mereka ingin memeluk sosok yang sentiasa memberi kasih dan cinta, berebut-rebut juga untuk dicium dan dikucup mesra.

“Happy Mother’s Day Mommy, I love you.”

Masing-masing dengan pelat yang tersendiri.

Namun hanya lima tahun.

Hanya lima tahun dia menyambut Hari Ibu bersama anak-anak kesayangannya.  Lima tahun yang penuh gembira dan bahagia di dalam hidupnya.  Lima tahun yang penuh dengan rancangan untuk masa hadapan anak-anaknya.

Hari ini, tiada sosok untuk anak-anak ucapkan Selamat Hari Ibu.  Tiada sosok untuk mereka peluk dan cium dengan penuh kasih sayang.  Tiada sosok untuk mereka mengadu cerita dan menumpah rasa.

Hanya ada dua nisan sebagai tanda yang dia ada di situ.  Masih dekat dengan anak-anaknya.  Masih ada tempat untuk mereka ziarah, melepas rindu dan meluah rasa disamping mendoakan kebahagiaan buatnya.

Walaupun sosoknya tiada namun dia tetap di dalam hati mereka untuk selama-lamanya.

Selamat Hari Ibu buat Almarhumah Marleena Abdul Manaff.

Sesungguhnya anak-anak sentiasa merinduimu.

#DiariSuperDaddy
#MothersDay2019

Share

Blog  / Nostalgia

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved