“Daddy, daddy, daddy..”
Sayup kedengaran suara memanggil-manggil. Terus saya tersedar dan tengok jam pukul 2.15 pagi. Nampak Khaleel sedang seperti rimas dan berterusan memanggil saya.
“Kenapa adik?”
“Daddy, daddy, daddy..”
Panggilnya sayu, suaranya agak lemah. Khaleel ni biasanya kalau dia jaga tengah malam memang meraung jer cari saya. Kena peluk dan dodoi baru akan sambung tidur kembali. Kali ini tidak.
Saya seperti biasa pergi mendekati nak peluk dia.
“Allahuakbar, panasnya dik. Adik demam ni.”
Terus melompat bangun, saya terpinga-pinga. Apa nak buat ni. Beberapa saat kemudian saya buka drawer cari towel kecil beberapa helai dan basahkan. Terus letak di kepala dan di celah ketiak. Basahkan juga sepasang stokin dan pakaikan.
Dia senyap sahaja. Diam.
Tarik nafas sekejap. Terus mencari thermometer dan ubat pula. Waktu beginilah benda yang sepatutnya sudah tersedia sukar sangat nak jumpa. Padahal semua ada jer pun dalam kotak khas. Tetapi tetap tak jumpa.
Terus teringat arwah isteri.
Kalaulah dia masih ada, semua benda untuk uruskan anak-anak demam ni akan ada sekelip mata sahaja. Semuanya lengkap.
Tapi tak apa, ini bukan kali pertama saya kena uruskan anak-anak sakit. Saya boleh buat, tak perlu panik, tak perlu susah hati. Saya pujuk diri dan bertenang hingga semua benda dapat saya cari.
“Daddy, daddy I don’t want this.”
Dia mula buang tuala-tuala basah yang melekat di badan dia. Suruh saya bukakan stokin basah tu. Tak mahu katanya. Tidak seperti abangnya si Khaleef, dia sendiri akan minta diletakkan tuala basah dan stokin basah kalau dia demam.
“Baiklah daddy buka yer. Tapi daddy bukak baju dan seluar dan tukar pampers jugak yer.”
Terus saya buka semuanya. Ketika buka pampers terus saya sumbat ubat demam ke dalam bontot dia. Fuhh, berjaya. Kalau tidak bukan senang nak sumbat ubat bontot ni, kena bergusti dulu.
Alhamdulillah, sekitar 40 minit kemudian bacaan dah mula turun, dari 39.1 mulanya kepada 37.5. Masih demam namun tidaklah merisaukan sangat. Dia pun dah mula tidur kembali.
Saya pula mula memikirkan backup plan untuk hari esok. Kalau menjelang pagi dia masih demam saya kena batalkan segala rancangan. Takpelah, kerja boleh tangguh tetapi kesihatan anak tak boleh diperjudikan.
***
Bersyukur sebenarnya kerana diberi peluang untuk membesarkan anak-anak dan merasai semua pengalaman ini. Ilmu membesarkan anak tidak pernah dipelajari di sekolah atau universiti tetapi semuanya melalui pengalaman.
Bersyukur juga kerana arwah isteri selalu mengingatkan saya tentang tanggungjawab dan mendedahkan saya kepada urusan rumahtangga. Semuanya perlu buat sama-sama.
Jika saya tidak pernah ambil endah tentang anak-anak dan mengharapkan semuanya pada isteri maka hari ini pasti semuanya akan menjadi sukar buat saya bila terpaksa melakukannya seorang diri.
Alhamdulillah, saya boleh.
Terima kasih duhai isteri.
Harap awak bangga dengan saya.







Leave A Reply