“There’s nothing more important than the love of those by your side”
Itu adalah petikan kata-kata Ip Man di dalam filem Ip Man 3 ketika selesai bertarung dengan pencabarnya.
Sebelumnya dia tidak hadir ke perlawanan yang telah dijadualkan kerana menghabiskan masa bersama isterinya yang sedang sakit melawan kanser. Sanggup belajar menari demi untuk melihat senyuman di wajah isterinya.
Dia sanggup kehilangan status, nama dan pangkat demi untuk melihat isterinya bahagia. Dia tidak mahu isterinya yang sakit bertambah sakit kerana risaukan dia di dalam perlawanan tersebut.
Jadi dia tinggalkan segalanya demi memberi bahagia kepada orang yang sentiasa berada di sisinya ketika susah dan senang sepanjang hidupnya.
Saya terkesan dengan dialog tersebut, saya terkesan dengan scene akhir filem ini yang membuatkan saya merenung kembali insan-insan yang penting di dalam hidup saya.
Saya mengingat dan mengenang insan-insan yang berada di sekeliling saya ketika saya susah dan senang. Saya mengenang arwah isteri saya yang tidak pernah sekalipun mempertikaikan tentang keberadaan dan wang ringgit saya. Tidak pernah merungut tentang kesusahan hidup bersama saya.
Jadi, tiada satu pun benda di dunia ini lebih penting kepada saya selain dia yang sentiasa mencurahkan keringat dan kasih sayang kepada saya dan anak-anak.
Usai dia pergi meninggalkan dunia, saya tinggalkan kerja yang bakal mengorbankan masa saya bersama anak-anak. Mereka sudah tiada insan yang paling penting dalam hidup, dan saya tidak mahu mereka turut ketiadaan saya.
Pangkat dan wang ringgit boleh dicari ganti, namun bukan anak-anak ini. Mereka adalah amanah dan nyawa saya. Jadi saya tidak teragak-agak untuk memilih mereka berbanding kerjaya.
Rezeki datang dalam pelbagai cara jika kita berusaha. Jika tidak melalui wang ringgit, pasti melalui cara lain atau pertolongan-pertolongan yang sangat membantu memudahkan urusan seharian saya.
Buat saya, tidak penting segala benda di dunia selain anak-anak yang menyayangi saya, selain mak dan abah yang sentiasa membantu saya, selain adik-beradik yang sentiasa menyokong saya dan juga rakan-rakan serta kalian yang sentiasa mendoakan saya.
Saya belajar sesuatu dari dialog dan filem tersebut.
Buat semua, hargailah dan kasihlah mereka yang sentiasa berada di sisi kita sementara mereka masih ada.
Bila kehilangan atau hampir kehilangan, baru kita akan sedar.
“Tiada yang lebih penting selain dari kasih sayang mereka yang sentiasa di sisi”
KHAIRUL ABDULLAH
#DiariSuperDaddy







Leave A Reply