Alkisah di sebuah kampung yang aman permai. Hasan adalah seorang suami dan bapa kepada 3 orang anak yang masih bersekolah. Beliau bukanlah seorang yang berada malah agak susah di kampung tersebut.
Hasan mengambil upah menoreh getah di sebuah kebun kecil dengan hasilnya dibahagi dua dengan tuan kebun. Dengan harga getah yang sangat rendah ketika ini, pendapatan Hasan hanyalah sekitar RM17 sehari. Namun Hasan gigih membuat kerja-kerja kampung yang lain dan juga menanam pisang untuk dijual.
Pada suatu hari, Hasan sedang menunggang motorsikal Honda C70 buruknya melalui kawasan kedai sekembali dari menoreh getah.
“Screeeeeeeeeeetttttt….Baaaammmmmmm” terdengar bunyi dentuman yang agak kuat.
Hasan terus memecut ke arah bunyi tersebut dan melihat sebuah van yang terbalik. Bertaburan di atas jalan kotak-kotak kecil dan juga bungkusan-bungkusan kecil yang Hasan sangat kenal iaitu mee segera.
Hasan bingkas meletakkan motorsikalnya dan menyerbu ke arah depan tempat pemandu lori dan melihat keadaannya. Seraya itu ramai orang kampung lain turut sama hadir ke tempat kejadian dan membantu mengeluarkan pemadu van yang patah tangan dan luka-luka.
Terdengar jeritan “van megi terbalik”..”van megi terbalik” berulang kali. Maka keluarlah penduduk kampung berduyun-duyun datang ke tempat kejadian dan turut mengambil mee segera dari van tersebut.
Masing-masing bersyukur kepada Allah atas kurniaan “rezeki terpijak” untuk mereka pada hari tersebut.
Usai membantu pemandu, Hasan menghidupkan motorsikalnya dan ingin beredar namun disapa oleh Kak Ani.
“Hasan, ko tak ambik Megi ke bawak balik untuk anak-anak?” tanya Kak Ani.
“Takpelah kak, saya ada tulang empat kerat untuk bagi anak bini saya makan” jawab Hasan.
“Ehhh..ini rezeki terpijak lah Hasan, bukannya kita mencuri?” jawab Kak Ani bersungguh-sungguh.
“Drebar van ada terbaring di tepi lori tu kak, pergilah tanya atau mintak dulu” kalau dia beri maka akak ambillah. Kalau tak akak pulangkan balik.” ujar Hasan.
“Lagipun drebar tadi dah cakap itu barang tokey, dia pemandu yang menghantar barangan sahaja” tambah Hasan lagi sambil menghidupkan motor buruknya dan beredar.
Motorsikal Hasan bergerak perlahan menyusuri jalan kampung hilang di balik celahan pohon pisang Rastali yang sedang berbuah lebat.
————————————————————–
Faham tak?
Entahlah….I dont know.
Dongak ke langit, hela nafas dan renungkanlah.
Nota: Cerita ini adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kena mengena lori Vico atau dengan mereka yang hidup atau yang telah meninggal dunia.







Leave A Reply