Seronokkah tinggal di negara orang? Hebat sangatkah negara orang? Apa yang beza negara orang dengan negara kita?
Senang jawab, bezanya tidak banyak. Paling berbeza mungkin cuacanya, rupabentuk bandarnya dan mukabuminya sahaja. Namun bagi saya, perbezaan lain yang paling ketara adalah manusianya.
Itu sahaja.
Tetapi perbezaan manusia tersebutlah yang membuatkan sesebuah negara tersebut jadi jauh berbeza dan mungkin lebih seronok untuk didiami.
Kalau untuk melihat dari sudut perbezaan bagi saya, tanah tumpah darah saya ini tidak kurang bezanya, punyai segalanya. Ringkasnya, apa yang negara orang ada, kita pun ada.
Jika hendak diukur dari segi kemajuan, kita ada semua benda yang baik dan bagus seperti negara lain di dunia ini namun manusia di negara kita tidak punya sikap, mentaliti dan adab serta intergriti untuk sama seperti mereka.
Saya tidak mahu bercakap pasal politik, ekonomi dan sebagainya yang mana saya rasa kita sudah sedia maklum dengan apa yang kita lalui hari ini.
Namun saya ingin bercakap mengenai nilai atau mentaliti yang menjadikan negara orang lain itu lebih selesa, seronok.
Sebagai contoh,
Kita ada segala jenis pusat perniagaan, pusat membeli belah, kedai, restoran, kafe hispster dan sebagainya. Kita juga ada segala jenama francais terbesar di dunia di dalam negara. Kita tidak ketinggalan.
Namun jika anda pernah masuk ke mana-mana pusat membeli belah atau kafe, atau kedai serbaneka maka anda pasti akan merasa perbezaannya. Bukan kedainya atau kafenya atau restorannya, tetapi orang yang memberikan servis kepada anda.
Kalau yang pernah atau biasa ke Jepun maka anda akan tahu betapa jauh perbezaan servis yang anda terima ketika di kedai, kafe, restoran dan sebagainya. itulah “Omotenashi” atau “Japanese Hospitality”.
Kita ada klinik dan hospital swasta yang besar dan canggih dengan segala peralatan terbaik dan caj yang mahal. Namun disebabkan yang memberikan servis dengan menggunakan peralatan tersebut adalah manusia dengan budaya yang berbeza maka tahap servis yang diberikan adalah berbeza.
Ruang hospital, mesin dan peralatannya semua sama malah ada yang jauh lebih baik namun jika anda pernah masuk ke hospital di Jerman maka anda akan merasa perbezaannya. Bukan hospital atau mesinnya, tetapi perkhidmatan yang anda terima.
Kita ada lebuhraya antara yang terbaik di dunia. Lengkap dengan prasarana dan kemudahan yang terbaik. Lebuhraya kita dilimpahi dengan lampu ketika malam hari namun…kemalangan maut saban hari tidak pernah habis. Kesesakan hampir 15 jam sehari.
Sebaliknya di Jerman, tidak ada sebatang tiang lampu di lebuhraya yang dipanggil Autobahn. Yang ada cuma lampu di hentian rehat sahaja. Di susur masuk atau keluar lebuhraya pun gelap gelita ketika malam. Sudahlah tidak ada had laju ditetapkan di kebanyakan laluannya, itu pun kadar kemalangan maut adalah antara yang terendah di dunia.
Oleh kerana manusia yang memandu di atas lebuhraya Autobahn tersebut adalah manusia yang mempunyai sikap, adab dan mentaliti yang berbeza maka kadar kemalangan yang dihasilkan turut berbeza.
Kita ada segalanya.
Kita semua pada sesuatu masa merupakan seorang pemberi servis atau pemberi khidmat. Sebagai hamba, kita berkhidmat kepada Tuhan. Sebagai anak, kita berkhidmat kepada ibu bapa. Sebagai peniaga, kita berkhidmat kepada pelanggan, sebagai pekerja, kita berkhidmat kepada bos.
Jika kita semua berubah dengan memberi khidmat yang lebih baik kepada semua disamping menerapkan nilai seperti akhlak, sikap dan mentaliti yang baik, nescaya akan ketara perbezaannya nanti.
Kita semua juga hampir setiap hari merupakan pengguna lebuhraya di seluruh negara.
Jika kita semua memandu dengan lebih berhemah dan membuang sikap mementingkan diri sendiri, maka saya pasti negara Malaysia yang tercinta pasti lebih selesa, seronok dan baik untuk kita diami bersama.
Dan ramai yang tidak mati sia-sia.
Mudah-mudahan. Aminnn.







Leave A Reply