Saya menerima mesej dari seorang pembaca bagi berkongsi isu ini dan mendapatkan ulasan saya mengenainya.
Saya telah membaca dan meneliti mesej yang cuba disampaikan pada papan tanda tersebut dan membuat kesimpulan berikut:
1. Saya yakin ianya adalah dari “bad design” signage yang boleh ditafsir dengan pelbagai cara. Ia berpunca dari 2 imej di barisan bawah yang mana imej di barisan bawah tengah menunjukkan seperti orang yang lengkap berpakaian renang Muslimah (burkini) namun dilarang. Jika melarang wanita bertudung dan berbaju biasa (biasanya baju dan seluar sukan) untuk masuk ke kolam renang, design tersebut tidak harus berbentuk begitu.
2. Isu kedua adalah masih tentang design di mana imej terakhir adalah gambar tudung. Tanpa penerangan dan hanya imej tudung ditonjolkan memberi gambaran yang tudung adalah sama-sekali tidak dibenarkan. Jadi wanita yang bertudung seolah-ólah dinafikan hak untuk masuk ke kolam renang.
3. Adakah memang benar wanita Muslim bertudung dilarang masuk ke kolam renang? Saya sangat yakin yang itu bukanlah yang dimaksudkan oleh pihak hotel. Sudah sedia maklum di negara yang Islam adalah agama rasminya, pihak hotel pasti mengambil kira faktor tersebut.
4. Hotel 4-5 bintang di ibu negara turut membenarkan semua tetamunya termasuk wanita bertudung untuk masuk ke kolam renang dengan syarat berpakaian renang dan tudung yang sesuai seperti burkini dan bukan track suit seperti yang biasa dilihat di atas faktor “hygenic”, keselamatan serta penyelenggaraan kolam.
5. Isu yang dimuat naik oleh pihak Prof tersebut ada sebab dan keperluannya dan pihak hotel perlu memperjelaskan isu tersebut bagi menjernihkan keadaan.
6. Bagi pelanggan yang biasa menginap di hotel pasti sudah ambil maklum dengan garis panduan di kolam renang namun bagi yang tidak biasa dan nampak pula papan tanda sebegitu maka ianya akan sangat mudah untuk disalah tafsir.
7. Papan tanda tersebut sepatutnya dibuat di dalam 2 bahagian iaitu yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan. Dari situ pelanggan akan nampak dengan lebih jelas dan tidak mudah untuk disalah tafsir.
8. Pihak hotel perlu memandang berat perkara seperti ini. Setiap design yang diberikan haruslah disemak dan diteliti sebelum diluluskan untuk dipamer kepada pelanggan atau tetamu.
9. Sikap tidak ambil endah terhadap design serta tulisan yang hendak dijadikan peraturan kepada orang ramai akan memberikan kesan yang besar kepada pihak hotel yang mana mungkin boleh diheret ke mahkamah.
10. Orang ramai berhak untuk mempersoalkan maksud sebenar papan tanda tersebut namun tidak wajar untuk menuduh dan membuat kesimpulan tanpa mendengar penjelasan dari pihak hotel. Kata makian dan cercaan tidak membuktikan apa-apa dan tidak menyelesaikan isu ini.
11. Namun orang ramai juga diminta untuk mematuhi peraturan berpakaian di kolam renang. Peraturan di kolam renang biasanya dibuat untuk kemaslahatan masyarakat dan juga demi untuk keselamatan dan kebaikan semua pihak dan bukannya untuk diskriminasi.
Begitulah.
Diharap pendapat saya di atas menunjukkan pendirian saya di dalam isu ini.
Terima kasih.
KHAIRUL ABDULLAH
Aktivis Kolam Renang Negara.







Leave A Reply