“Hang tau dak, hang dengan mak pak hang semua kapiaq” kata seorang rakan sepengajian saya sambil menunjukkan sepatah perkataan dari Al-Quran berbunyi “toghut” yang katanya ditujukan kepada orang-orang seperti saya.
Saya terdiam.
Terasa darah panas naik ke muka sehingga ke telinga. Saya beredar meninggalkan beliau dan terus naik ke atas rumah tempat kami sama-sama belajar mengaji.
Selang beberapa hari selepas kejadian tersebut, saya sekali lagi di”provoke” dengan ayat yang sama, ketika itu kelas mengaji sedang berlangsung. Beliau menunjukkan perkataan “toghut” di dalam Al-Quran kepada rakan lain dan menunjukkan kepada saya contoh seorang yang kafir.
Saya menahan sabar sambil memujuk diri.
Manakan saya seorang kafir kalau di kelas mengaji saya ditugas mengajar Al-Quran kepada pelajar yang lebih muda. Mana mungkin saya kafir kerana setiap kali perhimpunan pagi di sekolah saya berdiri di hadapan membacakan doa. Mana mungkin saya seorang yang kafir kalau saya dah khatam Quran, bersolat dan juga berpuasa seperti orang yang lain.
Air mata menitik menahan amarah.
Usai mengaji, saya berhadapan dengan beliau di tepi jalan. Dengan nada marah saya mengatakan yang beliau tidak patut berkata begitu terhadap saya dan orang tua saya. Saya merenung tajam ke matanya dan tangan mengenggam penumbuk.
Beliau seorang yang tinggi, saya seorang yang kecil hanya setinggi dadanya sahaja. Beliau menghampiri rapat kepada saya dan berkata “Tumbuklah kalau hang berani”.
Usai habis ayat tersebut maka sebuah tumbukan padu dari budak kecil ini hinggap di pipinya. Beliau terkesima. Saya menarik tangan adik lalu kami cepat-cepat beredar dari situ dan pulang ke rumah. Seingat saya, itulah tumbukan pertama dan terakhir di dalam hidup saya.
Ketika itu saya baru berusia 9 atau 10 tahun ketika itu dan rakan sepengajian tersebut juga adalah sebaya dengan saya. Kami bersekolah bersama, rumah kami hanyalah sepelaung jaraknya. Namun kata-kata beliau masih berbekas sehingga ke hari ini.
Itu adalah memori zaman kanak-kanak yang tidak pernah saya lupakan dan sebenarnya tidak pernah saya ceritakan kepada umum kecuali kepada seorang dua teman saya.
Kejadian tersebut adalah rentetan dari amanat seorang pemimpin politik pada zaman tersebut yang kononnya orang yang tidak sefahaman dengan politik mereka adalah kafir.
Ibu bapa yang taksub mula mengajar anak supaya dapat membezakan rakan mereka yang “kafir” dan yang “Islam sejati”.
Perpecahan berlaku di kampung dengan membezakan surau, tidak hadir kenduri, tidak ziarah kematian dan sebagainya. Kanak-kanak seperti saya juga tidak terlepas dari menjadi mangsa apabila fahaman politik ibu bapa kami berbeza dari mereka.
Apabila membaca artikel mengenai kanak-kanak 8 tahun yang digelar kafir oleh rakannya kerana tidak memakai tudung telah membuka kembali kotak memori saya terhadap kejadian yang berlaku pada awal tahun 80an dulu.
Saya terluka. Hati saya pedih. Namun saya telah memaafkan beliau. Saya juga berharap yang beliau juga memaafkan saya kerana menumbuknya. Kami hanya berjumpa sekali sahaja selepas 30 tahun ketika hari raya yang lalu.
Ingatlah para ibu bapa sekalian. Didiklah anak dengan adab yang baik dan tutur kata yang sopan. Perkataan “kafir” adalah sangat berat untuk dijatuhkan kepada seseorang Muslim yang lain.
Kawan saya yang bukan Islam juga ada bertanya, kenapa perlu melabelkan mereka sebagai kafir walaupun mereka orang yang tidak beriman kepada Allah. Adakah perkataan “bukan Islam” tidak sesuai dan terlalu lembut?
Mereka yang bukan Islam juga juga tidak suka digelar kafir, apatah lagi kita sesama Muslim.
Jadikanlah pengajaran terhadap apa yang berlaku hari ini di dalam usaha kita mendidik anak-anak untuk bersama-sama ke syurga Allah SWT.
KHAIRUL ABDULLAH
Pernah Digelar Kafir.







Leave A Reply