Keluar rumah jam 7 pagi, sampai balik jam 9 malam.
Penat jangan cakaplah. Penat badan tak seberapa tapi penat mental. Seharian di dalam bilik kuliah memerah otak, balik terus ambil anak-anak di kelas renang dan terus siapkan dinner.
Selesai dinner siapkan anak-anak untuk tidur dan seterusnya selesaikan apa yang patut bagi memastikan esok pagi semua lengkap untuk ke pejabat dan juga ke sekolah.
Rutin begini berterusan hari demi hari, bulan demi bulan. Lelah ini mungkin beterusan sehinga beberapa tahun lagi sehingga saya selesai belajar, sehingga anak sedikit besar untuk lebih membantu.
Biarlah, penat bukan untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri dan anak-anak.
Saya tidak pernah mempersoal atau menyesali atas apa yang telah ditakdirkan dan dikurniakan kepada saya. Kawan-kawan seringkali bertanya khabar samada saya ok atau tidak, dapatkah saya handle semuanya.
Jawapan saya sentiasa sama, saya ok. Kami berempat baik-baik sahaja. Sememangnya begitulah yang sebenarnya. Saya sentiasa ok. Yang tidak ok saya akan usahakan sampai ianya ok.
Bagi saya, “tidak ok” tidak membantu saya menyelesaikan apa sahaja rutin atau masalah. Ok atau tidak, rutin tetap perlu diteruskan. Ada mulut perlu disuap, ada tangis perlu dipujuk, ada kain baju perlu dibasuh, ada selerak perlu dikemas dan ada kotor perlu dibersih.
Saya move forward pada hari kedua arwah isteri pergi meninggalkan saya dan anak-anak. Saya tidak dapat mengambil masa lama untuk bersedih-sedih dan mengenang-ngenang.
Sudah saya tangisi duka saya sepuasnya pada hari sebelum kematiannya. Sudah saya berjanji pada diri dan pada dia yang saya harus cepat berdiri dan berlari demi kelangsungan hidup 3 nyawa yang diamanahkan kepada saya.
Sedih, penat, tertekan, marah adalah lumrah.
Semua itu sesekali datang mencabar keupayaan dan kewarasan saya. Namun, saya perlu terus gagah menghadapi apa sahaja yang mendatang.
Penat lelah ini adalah pilihan saya.
Saya pilih untuk membesarkan sendiri anak-anak, saya pilih untuk menyambung pelajaran, saya pilih untuk melakukan 3-4 kerja dalam satu masa, saya pilih untuk penuhkan masa saya dengan apa sahaja yang memberi faedah kepada saya dan juga anak-anak.
Sesungguhnya penat dan lelah ini adalah bahagia buat saya.
Terima kasih kalian kerana sering mendoakan kami sekeluarga.
KHAIRUL ABDULLAH
#SuperDaddy







Leave A Reply