“Adik, boleh tak kita bagi kakak ni bayar dulu? Kesian dia berpayahan dengan anak-anak tu” pinta saya pada para pelajar yang sedang beratur untuk membayar di sebuah kafe Universiti Malaya tengah hari tadi.
Para pelajar mengangguk tanda setuju untuk membenarkan wanita berbangsa Jepun (berdasarkan bahasa yang digunakan untuk bercakap dengan anaknya) tersebut membayar dahulu.
Wanita tersebut, dengan seorang anak yang didukung di tangan kanan, dengan pinggan berisi nasi berlauk campur di tangan kiri sambil cuba melarang anaknya seorang lagi dari berjauhan dengannya, saya persilakan ke kaunter bayaran dengan memotong barisan dan membayar terlebih dahulu.
Beliau dengan susah payah bergerak ke kaunter sambil memohon maaf kepada orang lain yang sedang beratur dan terus membayar harga makanannya.
Terima kasih kepada warga kampus UM yang memberi laluan kepada wanita tersebut. Semoga budi baik anda semua akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Saya menyeru kepada semua agar lebih prihatin dengan keadaan sekeliling kita. Ketika waktu puncak seperti tersebut, kita sering terlupa terhadap keperluan orang lain berbanding diri sendiri kerana waktu tersebut perut kita sangat lapar.
Kalau boleh kita nak makan lebih dahulu dari orang lain. Namun tidak salah sekiranya membantu dan memberi peluang kepada orang yang lebih memerlukan untuk membayar dahulu dan duduk dahulu di meja yang kosong.
Semoga dengan kebaikan kecil yang kita lakukan tersebut akan dibalas dengan kebaikan juga suatu hari nanti.
Ingatlah, sentiasa permudahkan urusan orang lain dan nescaya urusan kita jugan akan dipermudahkan nanti. Hiduplah untuk menjadi orang yang memberi manfaat kepada orang lain kerana itulah sebaik-baik manusia.







Leave A Reply