
Hari ini mereka berkongsi tarikh lahir.
Anak kecil itu dulu usianya 7 bulan dan abangnya baru 2 tahun setengah bila ibu mereka dijemput pulang. Ini kali kedua mereka menyambut hari lahir tanpa sosok seorang ibu. Namun mereka baik-baik sahaja.
Setiap hari lahir merupakan pencapaian baru buat aku dan juga cabaran baru yang akan aku tempuh nanti.
Tubuh kecil itu dulunya hanya merangkak, kini dah melompat dan berlari. Dulunya hanya tahu merengek, kini sudah keluar pertanyaan bertubi-tubi.
Keduanya membesar dengan cukup makan dan pakainya. Sesekali demam dan sakit itu perkara biasa. Kasih sayang aku curahkan sepenuhnya. Nyamuk yang datang pun aku amuk sampai putus hayatnya.
Betapa aku beruntung, betapa aku dirahmati.
Berapa ramai yang berpeluang seperti aku yang dapat membesarkan 3 orang anak kecil dengan kedua-dua tangan ini sendiri?
Sudah lebih 1600 kali berak itu aku cuci, sudah lebih 9000 botol susu aku dah bancuh, sudah lebih 8000 kali pakaian mereka aku gosok, sudah beribu jam menahan lenguh dodoikan tidur mereka, berapa ribu jam lena aku juga terpaksa dikorbankan. Semuanya aku hadap sendiri. Cuma sesekali emak dan adik-adik aku datang membantu.
Ribuan jerih itu terbalas bila melihat mereka membesar di depan mata. Semua parut di tubuh mereka aku tahu setiap satunya. Setiap senyum dan permintaan mereka aku tahu jika ada muslihatnya.
Benarlah, ini adalah momen-momen yang akan aku kenang sampai mati. Momen-momen yang menduga dan juga membentuk aku sebagai seorang lelaki. Momen-momen yang membuktikan aku seorang yang berani.
Alhamdulillah.
I have the most daunting but awesome job in the world and I will surely treasure this for the rest of my life.
Happy birthday sons!
KHAIRUL ABDULLAH
#DiariSuperDaddy







Leave A Reply