• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Kita Bukan Jerman

04/07/2018

Kita bukan Jerman.

Di sana bolehlah ibu dan bapa bercuti demi membesarkan anak sehingga usia 3 tahun.  Kemudian barulah dilepaskan ke pengasuh ataupun tadika.

Ibu bapa di sana ada pilihan untuk bercuti selama 6 bulan atau maksimum 3 tahun dengan gajinya dibayar oleh kerajaan sebanyak 65% daripada gaji sebenar.

Ada pengiraan khas dibuat dan setiap ibu atau bapa menerima diantara €300 sehingga maksimum €1,800 sebulan dengan tambahan elaun anak lain atau “Sibling Bonus” sekiranya ada.

Ibu mengandung diwajibkan bercuti 6 minggu sebelum tarikh bersalin dan 8 minggu selepas bersalin dan mereka akan diberikan Mutterschaftsgeld atau Maternity Allowance.

Setiap anak yang lahir pula akan diberikan elaun di antara €194 – €225 setiap bulan sehinggalah usia mereka 18 tahun atau sehingga berusia 25 tahun jika mereka masih belajar dan menepati syarat yang ditetapkan.

Kerajaan Jerman mahukan anak-anak dibesarkan dengan sebaiknya kerana itulah aset penting di dalam kemajuan dan kehebatan negara.

Bagi mereka, aset kecil ini perlu mendapat perhatian dan penjagaan yang secukupnya dari ibu bapa kerana tempoh 3 tahun pertama adalah tempoh kritikal untuk tumbesaran dan perkembangan bayi.

Selain itu, elaun untuk setiap anak akan membantu ibubapa memberikan penjagaan yang secukupnya kepada mereka agar tidak timbul isu anak tidak cukup makan pakai dan sebagainya.

Itu di Jerman.

Kita di sini tiada pilihan.

Bercuti lama boleh namun tanpa gaji.  Dengan kos sara hidup yang tinggi di bandar, sebuah keluarga memerlukan ibu dan bapa kedua-duanya keluar bekerja.

Sudah begitu, keluar sedari Subuh dan menjelang Isyak baru sampai ke rumah akibat kerja lebih masa atau tersekat di jalanraya.

Masa dengan anak-anak adalah sangat minimum.  Namun apa pilihan yang ada?  Berhenti kerja?  Balik ke kampung?  Bekerja dari rumah?  Atau macam-macam pilihan lain yang disarankan.  Namun ianya tidak mudah untuk semua orang.

Jadi, apabila timbul kes-kes kematian bayi di tangan penjaga maka kita semua harus menilai kembali peranan semua.  Adalah tidak wajar meletakkan kesalahan kembali kepada ibubapa kerana melepaskan anak ke tangan penjaga.

Selagi anda tiada anak dan tidak berada di dalam keadaan yang memerlukan kedua suami isteri keluar bekerja maka anda tidak akan memahaminya.

Semua ibu-bapa mahukan yang terbaik buat anak.  Jika mampu pasti mereka akan sendiri menjaga dan membesarkan anak-anak.

Bersamalah kita mendoakan agar negara kita diberi kemakmuran dan rezeki yang melimpah ruah.  Jangan culas dan lari dari membayar cukai dan semoga kerajaan kita juga dapat mengikut contoh yang dipraktikkan oleh negara maju seperti Jerman.

Selamat Tinggal Adam Rayqal Mohd Sufi.

Semoga kamu berbahagia di sana.

Share

Believe It or Not  / Blog  / Experience  / Knowledge  / Parenting

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved