Inilah “trouble maker” di dalam rumah kami.
Orangnya kecil sahaja. Baru berusia 15 bulan dan dengan berat hampir 11 kilogram, dia menang dalam setiap acara dan dialah yang mengawal segalanya.
Kalau dengar abang-abang dia menangis, maka 90% adalah hasil kerja dia dan selebihnya 10% adalah hasil daripada pergaduhan abang sesama sendiri.
Gemar merebut apa sahaja yang abang-abangnya sedang pegang kemudian melarikan diri dengan wajah penuh keriangan. Jika berebut barangan, dia sentiasa menang. Kuat sungguh genggaman dia.
Apa sahaja yang ada ditangannya akan digunakan buat mengetuk kepala abang-abangnya. Tanpa sebab dan tanpa notis, kepala abang menjadi sasaran sampai mereka menangis. Dia hanya tersenyum “cheeky”.
Tanpa sebab juga dia akan menggomol abang-abangnya yang sedang berbaring, naik ke atas belakang dan duduk di atas kepala. Diinjak-injak juga sampai mereka menjerit atau menangis. Dia seronok sangat.
Sesekali dia hilang dan dijumpai di tingkat atas apabila abangnya membuka pagar di tangga dan tidak menutup kembali. Atau kadang-kadang pagar tidak diselak dengan betul maka dia sendiri boleh membukanya dan bergegas naik ke tingkat atas.
Kerusi di dalam rumah semuanya sudah saya alihkan dan jauhkan dari meja. Kalau tidak, dalam kiraan tak sampai 10 saat dia sudah berdiri di atas meja dan mencampak apa sahaja yang di dalam capaiannya. Itupun kadang-kadang dengar bunyi berkeriuk dan kelihatan dia sedang menolak kerusi ke arah meja makan.
Banyak juga barang kaca yang pecah berderai. Kini kebanyakan almari sudah saya pasang kunci. Namun sesekali terlupa kunci maka akan kelihatan periuk di atas rak tv, atau remote yang 3 hari kehilangan berada di dalam periuk dalam almari dapur.
Banyak juga barang lain yang tiba-tiba hilang seperti telefon, kunci dan sebagainya yang diambil oleh budak kecil itu lalu dimasukkan ke segenap tempat samada di dalam almari kasut, peti sejuk, celah sofa, di belakang buku atau di dalam mangkuk tandas.
Hari ini masuk hari ke-4 kunci kereta saya gagal dijumpai.
Suspek utama masih belum boleh berkata-kata untuk disoal siasat.







Leave A Reply