“Penat juga jadi budak tadika ni yer”.
Itulah tanggapan pertama saya apabila membaca Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan. Matlamatnya bagi saya sangat bagus. Objektifnya pun sangat banyak. Kanak-kanak akan beroleh segala jenis manfaat dan pengetahuan di samping membentuk sahsiah diri dan akhlak yang bagus.
Kemudian saya baca pula Kurikulum Standard Prasekolah Finland di mana Finland merupakan negara yang berada di ranking nombor satu sistem pendidikan di dunia. Tengok matlamat dan objektifnya sikit sangat pulak.
Bukan nak membezakan atau memperlekehkan atau menyanjung tinggi dan sebagainya, cumanya saya teringin hendak tahu bagaimanakah sistem tadika dilaksanakan di negara tersebut yang terbukti menjadikan negara mereka sebuah negara yang hebat dan diiktiraf sistem pendidikannya sebagai yang terbaik di dunia.
Lalu saya ketemui apa yang saya ingin tahu.
Melalui pembacaan tersebut, saya boleh simpulkan yang cara belajarnya sama seperti kanak-kanak tadika di tepi rumah saya di Frankfurt dahulu. Semuanya penuh dengan permainan dan aktiviti luar kelas dan rombongan ke bandar, taman, zoo dan sebagainya hampir setiap minggu.
Saya tidak dapat bandingkan dengan cara pembelajaran kanak-kanak tadika di Malaysia kerana saya belum pernah menghantar anak ke tadika.
Di Jerman pun saya hanya perhatikannya dari rumah saya sahaja di mana sedari pagi sampailah ke tengahari kanak-kanak tu bermain sahaja di luar kelas.
Saya juga tidak pernah ke tadika dahulu. Begitu juga adik-beradik saya yang lain. Jadi tidak tahu pengalamannya bagaimana.
Namun, apa yang saya boleh simpulkan, kalau tengok jadual pembelajaran yang dibentangkan di dalam kurikulum prasekolah kebangsaan tu, memang penat juga jadi budak tadika ni.
Itu cuma tanggapan saya.
Anda sebagai ibu bapa atau mereka yang masih ingat kenangan di tadika pula bagaimana?
Adakah kita melakukannya dengan betul? Atau kurikulum tersebut memang merupakan yang terbaik untuk kita di Malaysia.
Apa pendapat anda? Atau anda tak pernah ambil tahu?
Jom bincangkan.
p/s: Tidak perlu kutuk mengutuk, rendah merendahkan dan sebagainya di dalam komen. Kita hendak berkongsi pendapat dan pengalaman sahaja. Terima kasih.







Leave A Reply