• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Megi dan Kambing Bakar

29/05/2019

“Daddy, that is my mommy.  I miss my mommy.  Daddy, I want my mommy please..”

Itulah rengek Khaleef berulang-ulang apabila dia melihat wajah ibunya terpampang di skrin besar ketika majlis berbuka puasa tadi.

Mood asalnya yang seronok dan gembira bertukar suram.  Alunan surah Al-Fatihah yang bergema menambah pilu buatnya.  Saya hanya mampu mengusap-usap belakangnya.

Jeda.

Tadi kami dijemput ke majlis berbuka puasa anjuran pejabat arwah isteri.  Saya sebenarnya tidak gemar berbuka di luar memandangkan kesukaran mengawal 3 orang hero ini.

Namun saya berbesar hati apabila dijemput.  Mereka masih ingat kepada kami walaupun arwah isteri sudah lama pergi.  Lagipun lama juga saya tak makan sedap ni.  Terbayang mungkin ada nasi beriani, kambing, kuih muih dan air yang serba sedap belaka.  Lalu saya nekad untuk hadir walaupun kebarangkalian untuk dapat makan itu adalah tipis.

Namun begitulah, kita hanya mampu merancang dan berangan, Tuhan yang menentukan.

Khaleel nak makan, Khaleed nak berlari dan Khaleef yang dah tak ceria beria-ia mengajak saya ke hotel.  Katanya rindu ibunya, nak ke hotel depan masjid (Dorsett Putrajaya) yang dekat depan pintu bilik ada burung.  Saya tanya kenapa nak ke situ dan jawabnya dia rindu ibunya.  Dia ingat dia pernah duduk hotel tu dan ibunya selalu akan tunjuk burung-burung tu kat dia.

Bila saya cakap hotel dah penuh dan pelbagai alasan lain, dia mula merajuk.  Dia kalau merajuk akan menyembunyikan diri.  Puas dipujuk, puas diberi segala alasan, tetap merengek dan menangis.

Baiklah nak.

Lalu saya berbuka dengan segelas air dan sepotong kuih sahaja.  Tiada beriani mahupun kambing bakar.  Terpaksa meminta izin untuk pulang segera kerana memang tak cukup tangan nak melayan kerenah 3 orang budak ni.  Darah pun dah naik sedikit demi sedikit.

Dengan berat hati, beredarlah saya meninggalkan majlis.

Di dalam kereta, mujur Khaleef berjaya dipujuk dengan mercun pop-pop.  Singgahlah beli mercun dan singgah juga beli KFC untuk mereka.  Saya nak makan apa yang ada kat rumah sahaja.

Lepas bagi diorang makan, barulah terasa lapar.  Baru berkira nak cari apa yang boleh di masak di dapur, teringat yang semalam gas habis.  Nak masak apa pun tak boleh.

Nah, ambik kau, makan megi sahaja jawabnya.

Jauh benar bezanya rasa megi dengan kambing bakar.

Sekian.

P/S: Buat warga TM, terima kasih kerana sudi menjemput dan menyantuni saya dan anak-anak walaupun kami sudah tiada apa-apa lagi di sana.  Kenangan arwah dan saya bersama kalian semua akan saya bawa sehingga mati.

#DiariSuperDaddy

Share

Blog  / Nostalgia  / Parenting

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved