• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Memori Koridor Belakang

13/05/2019

Dengan tenang sekali aku dengan member duduk di koridor belakang merenung bintang.  Sambil makan karipap hasil dari bodek makcik dewan makan waktu berbuka tadi.

Ada juga stok kuih muih lain, biskut, minuman dan semestinya rokok.  Kami biasanya akan menyusup keluar ke koridor belakang selepas solat Isyak ketika orang lain mula nak bertarawih.

Minggu pertama puasa, aku layan juga tarawih.  Masuk minggu kedua dia punya malas tu dah tahap tak boleh bawak bincang dah.  Maka keraplah aku ponteng.

Tiap kali ponteng maka koridor belakang adalah tempat persembunyian.  Kena keluar ikut lubang berjaring yang telah dikopak di bahagian atas tingkap nako yang hanya muat untuk seorang.

Koridor bersaiz 5 kaki yang hanya ada lantai dan tiada dinding atau tebing penghadang sepertimana koridor depan tempat lalu-lalang menuju ke bilik lain dan juga tangga.  Sudahlah tiada tebing, berlumut dan licin pulak tu.  Kalau tergelincir pasti terus jatuh dari tingkat 4 tu.

Selesai makan karipap dan menyaksikan langit malam dipenuhi bintang dan berlatarbelakang suara Ustaz Mala mengimami solat tarawih, pundi kecing pun sudah mula penuh.

Bergegas masuk balik melalui lubang kecil tadi dan terus menuju ke tandas.  Selesai urusan maka menyusup perlahan ibarat ninja untuk kembali ke koridor belakang.

Namun ketika melintasi sebuah bilik, kelihatan beberapa orang rakan sedang berborak dan ada yang tengah main chess.  Aku pun singgahlah.  Depa kata pengawas dan warden tak round malam ni, line clear.

Aku pun apa lagi terus join tengok member lawan chess.

Tak sampai 3 minit pun, baru nak tolong atur strategi dah nampak warden dengan pengawas tercegat berdiri depan pintu.  Pergghhh, dah kena cekup.  Menyesal terus, kenapalah aku singgah tadi.

Setelah disoal-siasat sehingga selesai tarawih maka kami yang didapati bersalah ponteng tarawih diarak turun ke tengah courtyard.  Pelajar lain semua keluar dari bilik dan mengintai dari koridor di depan bilik masing-masing.

Kesalahan dibacakan dan denda dijatuhkan: Ketuk ketampi sebanyak 200 kali, perlu dilakukan serta merta di khalayak ramai.  Dua ratus kali wehhh, mau fingsan.

Fuhhhhh.

Semua orang mengira, satu…dua…tiga setiap kali kami duduk dan berdiri sambil tangan disilangkan memegang telinga.  Aku rasa baru masuk kali yang ke-20 lebih lutut aku dah hilang dah.  Dia punya seksa tu pun tak boleh bawak bincang juga sesuailah dengan tahap malas aku tu.

Padanlah.

Sesungguhnya aku tak ingat berapa kali kiraan kami kena malam tu.  Aku tak ingat juga berapa ramai yang kena dengan aku, mungkin sekitar 6-7 orang kot.

Yang paling aku ingat ialah, esoknya macam dah merangkak berjalan pergi ke sekolah.  Kaki kau rasa macam lembik tak bermaya, setiap kali melangkah, nak pijak tu tak terasa.  Kalau tak berpegang atau berpaut, kompom jatuh terjelepuk.

Sesungguhnya aku tak mau kena ketuk ketampi lagi dah lepas tu.  Siksa ya amat.  Aku lebih rela pilih rotan yang ada 4-5 jenis di dalam bilik warden tu.  Walaupun sakitnya perit, aku masih boleh berjalan dengan bergaya pergi ke sekolah.  Siksanya cuma waktu nak duduk sahaja.

Ketuk ketampi pula buat kau jalan macam orang takde kaki.  Kena bergayut di koridor, di pemegang tangga dan juga minta ehsan kawan kau untuk papah kau ke sekolah.

Ketuk ketampi ni sesungguhnya adalah salah satu bentuk penyiksaan dan lebih zalim dari rotan tau.

Padan muka aku.

#SekolahTengahBendang

Share

Blog  / Experience  / Nostalgia  / Peoples

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved