• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Mengenangmu. Seperti Selalu.

01/11/2018

Malam ini aku ingin mengenang.

Cuba mengingat kembali hari pertama bertentang mata.  Hari pertama bertegur sapa, hari pertama berbual bicara.

Mengimbau kembali 20 tahun lamanya melihat senyuman dari bibir yang sama.  Mendengar nada dari suara yang sama.  Melihat sosok dari tubuh yang sama.

Mengintai kembali helaian kenangan bersama.  Menyingkap kembali semua peristiwa.  Agar tiada satu pun yang dilupa.

Hiba.

Biarkan aku menangis.

Biarkan.

Hanya untuk hari ini.

Tangis ini memang aku simpan untuk hari istimewa seperti ini.  Hari yang tidak pernah aku lupa sepanjang hampir separuh usia lamanya.

Aku renung wajah anak-anak yang sedang nyenyak dibuai mimpi.  Aku usap kepala, aku cium dahi dan aku ungkapkan sayang pada mereka.

“Hari ini hari lahir ibumu nak, aku bisik lembut.”

Kasihan.

Tidak terbayang perit yang mereka bawa.  Tak terbayang rindu yang mereka rasa.  Sedangkan aku yang dewasa ini tak tertanggung rasanya, apatah si kecil yang masih tidak tahu apa-apa.

Kasihan.

Malam ini biarlah aku tangis semahunya.

Biarkan.

Aku mahu lepaskan kerinduan yang selalunya aku tahan supaya ianya tidak mengganggu hidup seharian.  Sentiasa aku tahan-tahan.

Jadi, biarkan aku lepas semuanya hari ini.

Aku rindu.

Selalunya, aku sunyi.

Namun, yakinlah yang ianya hanya untuk hari ini.

Esok terpaksa aku lepas pergi segala rindu ini.  Bukanlah bererti aku berhenti dari merindu, namun ianya perlu agar rasa itu tidak menganggu.

Semoga di hari ulangtahun kelahiran ini, kau akan sangat berbangga dengan aku.

Kau akan berbangga melihat aku berhempas pulas menjaga anak-anak seperti yang pernah kau amanahkan dahulu.

Kau akan berbangga melihat aku mengurus rumahtangga, seperti yang sentiasa kita buat bersama-sama.

Kau pasti bahagia melihat aku dan anak-anak baik-baik sahaja.

Semoga di hari yang sentiasa membahagiakan ini, kau akan terus menyayangi dan mencintai aku.

Seperti selalu.

Semoga di hari ulangtahun yang sentiasa aku tunggu, aku akan berterusan mengenang seorang isteri yang amat aku rindu.

Selamat hari lahir wahai isteri.

Kali ini, hanya doa yang dapat aku dan anak-anak beri.

AL-FATIHAH.

Marleena Abdul Manaff
1 November 1978 – 1 Ogos 2018

#diairiseorangsuperdaddy

Share

Blog  / Books  / Nostalgia

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved