Pagi semalam ketika sedang menunggu kereta yang sedang ditukar “airbag” di sebuah pusat servis, saya melihat perangai sebenar rakyat Malaysia.
Pusat servis kenderaan tersebut menawarkan layanan kelas pertama. Ruang menunggu yang dilengkapi sambungan internet berkelajuan tinggi, tempat duduk yang banyak dan selesa, ada tempat permainan kanak-kanak, tandas yang sangat bersih dan macam-macam lagi.
Paling seronok adalah minuman dan makanan percuma.
Saya yang sampai 20 minit lebih awal dari masa temujanji telah dilayan dengan sangat professional dan menunggu giliran pun sekejap sahaja.
Cumanya ketika menunggu penukaran beg udara yang memakan masa sekitar 2 jam lebih, saya mengambil peluang untuk bersarapan percuma. Dengan 3 keping biskut, seketul karipap dan sebungkus nasi lemak bersama 3 cawan teh tarik dikelilingi rakan-rakan pelbagai bangsa dan agama duduk bersarapan semeja cukup membahagiakan saya.
Walaupun tidak ramai yang boleh diajak berbual kerana asyik dengan telefon masing-masing, namun semua dapat bertegur sapa saling menjemput untuk menikmati sarapan percuma.
Paling menarik, selesai makan, semuanya mengemas dan membersihkan meja masing-masing dan menyusun kembali kerusi. Tidak nampak sisa cawan kertas atau pembungkus nasi lemak yang ditinggalkan sebegitu sahaja.
Adik yang bekerja di ruangan tersebut pun sangat mudah kerjanya kerana tidak perlu membersihkan kawasan meja, cuma perlu menambah kopi atau susu di mesin kopi yang dah kehabisan.
Tidak nampak sebarang sampah atau slip nombor giliran atau sisa tisu dan sebagainya di atas lantai.
Saya gembira melihat sikap-sikap tersebut.
Kalaulah sikap sebegini dipraktikkan oleh semua orang di semua tempat tak kira masa, alangkah bahagianya hidup di Malaysia yang tercinta ini.
Apa-apapun, tahniah dan syabas kepada rakyat Malaysia di pusat servis Honda Glenmarie HZN Cars Sdn Bhd, samada pekerja dan juga pelanggan yang semuanya menunjukkan sikap sebenar rakyat Malaysia yang bermentaliti kelas pertama.
Keep it up!
#mentalitikelaspertama
#mentalitijamban







Leave A Reply