• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Nostalgia

30/12/2018

Sedang sedap menikmati masakan emak, tiba-tiba air mata mengalir laju tanpa diminta.  Mujur makan seorang diri ketika beliau sedang sibuk melayan cucu-cucunya.

Tidak terfikir pula yang saya akan jadi sangat sentimental ketika tiba di kampung apatah lagi ketika sedang makan.  Ingatkan hanya gembira dan gelak tawa sahaja sebab dapat tengok kampung dan jumpa mak abah.

Rupanya, segala kenangan bersama arwah isteri di rumah ini terhambur kembali.

Allah, banyaknya kenangan di dalam rumah ini.

Teringat kali pertama saya bawa girlfriend untuk diperkenalkan kepada mak dan abah.  Masih boleh terbayang bagaimana keadaan girlfriend saya ketika itu.

Malu-malu sahaja.

Jelas juga di hari majlis perkahwinan kami di rumah ini.  Biasa-biasa sahaja, tiada pelamin, tiada juga jurugambar.  Ada jugalah beberapa keping gambar diberi rakan yang pernah saya lihat, tetapi entah di mana kini.

Masih terbayang rutinnya apabila sampai ke rumah ini setiap kali kami pulang.  Dia akan segera mengemas bilik.  Ditukarnya segala cadar dan sarung bantal.  Beg akan dibuka dan segala pakaian dan kelengkapan akan disusun rapi.

Boleh sahaja emak siapkan semuanya sebelum kami sampai, tetapi mak tahu dia tak akan benarkan.  Mak tahu, SOP mereka berbeza.  Mak tahu tahap perinciannya juga berbeza.  Jadi biar sahaja dia buat semuanya.

Selesai, barulah dia ke dapur.  Maka berulang-aliklah dia ke dapur, bilik dan dapur sehingga lewat malam.  Ketika kami anak-beranak dan semua orang tidur, dia masih di dapur mengemas.

Selalunya dialah yang terakhir tidur.

Awal pagi sudah di dapur sediakan sarapan untuk kami semua.  Gelak tawa dia ketika di dapur bersama emak boleh dengar sampai di depan.  Tidak malu-malu lagi seperti dahulu.

Kegembiraannya menyambut anak-anak ketika mereka bangun tidur sukar digambarkan.  Disebut namanya, diucap selamat pagi lalu dipeluk dan dicium anak-anaknya.

Itulah kebahagiaannya.

Pagi ini, rumah ini sunyi.

Rumah yang dahulunya bila pulang akan ada satu suara yang sentiasa mengindahkan pagi kami sudah tiada lagi.  Hilang selamanya.

Sesekali kedengaran anak-anak menangis bergaduh berebutkan mainan.  Sesekali dengar bunyi deruan motor abah yang berulang alik dari kedai.  Sesekali dengar kokokan ayam jantan yang mungkin sedang berebut kawasan.

Semua bunyi tersebut tidak dapat menenggelamkan kesunyian yang melanda di hati kami.

Inilah kepulangan pertama saya tanpa kelibat seorang isteri.

Menghadapi hari-hari di rumah yang penuh nostalgia dari zaman saya membesar sehingga punya anak tiga ini terasa sepi.

Setiap benda yang dilihat, setiap makanan yang dijamah, setiap waktu dan ketika ada sahaja nostalgianya.  Nostalgia tanpa kelibat orangnya terasa sangat tidak sempurna.

Itu belum saya singgah ke rumahnya.

Rumah kelahirannya juga penuh dengan memori.  Sudah 3 kelibat yang tiada.  Dari ayah, emak dan juga dirinya sendiri.  Ketiganya pernah mewarnai hari-hari indah saya.

Ketiganya juga saya sempurnakan jenazah mereka.  Saya turun ke liang lahad menyambut dan saya kuburkan bersama segala kasih sayang yang ada buat mereka.

Namun yang pergi tidak akan kembali.

Semua kenangan dan nostalgia akan sentiasa datang menjengah.  Maka saya dakap dan peluk ia walaupun kosong dan sunyi sepi rasanya.

#diariseorangsuperdaddy

Share

Blog  / Nostalgia

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved