Musim sejuk (winter) telah tiba di negara-negara yang terletak di hemisfera utara. Di Jerman, salji pun sudah mulai turun di beberapa kawasan dan bandar.
Jadi musim behibernisasi dan menggemukkan badan sudah bermula dan juga musim mencedok dan membersihkan salji di depan rumah turut bermula. Salji yang menutupi laluan pejalan kaki di hadapan rumah atau di depan apartment atau di depan kedai atau mana-mana sahaja laluan awam perlu dibersihkan.
Yang bertanggungjawab membersihkannya adalah sesiapa yang tinggal di situ. Kalau yang tinggal di rumah maka laluan pejalan kaki depan rumah anda wajiblah anda sendiri yang bersihkan. Kalau yang tinggal di apartment, mungkin ada tukang kebun anda yang bersihkan. Kalau yang berniaga maka andalah kena bersihkan kaki lima kedai anda.
Ini adalah tanggungjawab semua orang dan tidak bergantung harap kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana pihak PBT menumpukan kepada usaha pembersihan yang lebih besar seperti membersihkan jalanraya.
Selain itu di dalam kontrak penyewaan premis atau rumah atau apartment juga turut mempunyai klausa atau termaktub tentang tanggungjawab anda untuk membersihkan laluan pejalan kaki termasuk juga laluan atau lorong masuk ke rumah atau apartment anda.
Namun orang ramai tidak peduli sangat tentang tanggungjawab khusus PBT dan juga kontrak sewa rumah sebenarnya, mereka sebolehnya sama-sama berusaha membantu membersihkan laluan untuk kegunaan semua orang atas rasa tanggungjawab individu terhadap masyarakat.
Anda boleh jer kalau tak nak buat, mungkin jiran anda tolong buat ataupun kalau takde sesiapa yang buat dan ditakdirkan seorang pejalan kaki yang lalu di hadapan rumah anda jatuh terjelepuk atau terpeleot akibat dari “black ice” yang terjadi di lapisan bawah salji kerana tidak dibersihkan maka anda akan dipersalahkan.
Anda mungkin terpaksa naik turun mahkamah kerana disaman.
Mujurlah kat Malaysia takde salji yer, kalau tidak penuh sesak mahkamah.







Leave A Reply