Arahan pengasingan sisa atau sampah domestik sudahpun berkuatkuasa. Sudahkah kita praktikkan? Kalau belum jomlah kita sama-sama mulakan dan amalkan.
Di sini saya nak kongsikan beberapa cara bagaimana kita boleh lakukannya dengan lebih mudah dan lebih baik dan “go extra mile” di dalam sistem pembuangan sampah atau sisa domestik kita dan dapat pahala mudah.
1. Perbetulkan niat.
Niatlah yang kita asingkan semua sampah di rumah tu kerana Allah Taala. Kerana limpah kurnianya dapat kita menghirup udara segar di bumi bertuah ini dan balasan sebagai tanda bersyukur maka kita bersama menjaga bumi Allah ini dari segala pencemaran dan kerosakan.
Niat juga yang dengan mengasingkan sampah dengan betul maka kita membantu mempermudahkan kerja orang secara tidak langsung kita turut memberi pendapatan tambahan kepada pekerja apabila mereka dapat menjual bahan-bahan buangan kitar semula seperti kertas, plastik, botol dan sebagainya.
2. Buat dengan ikhlas.
Bila niat dah diperbetulkan maka InshaAllah setiap pekerjaan akan menjadi ikhlas. Bila ikhlas, kerja akan menjadi lebih mudah dan lebih baik. Jangan fikirkan kita dah bayar yuran penyelenggaraan dan cukai pintu dan sebagainya maka semua kerja tu kontraktor bertanggungjawablah yang kena buat.
Kan kita dah niat tadi yang kita hendak membantu mempermudahkan dan menambahkan pendapatan pekerja.
3. Bilas dulu semua bekas makanan dan minuman.
Kita boleh buat dengan lebih baik dengan cara membersihkan dahulu setiap bahan tadi terutamanya botol, tin, kotak minuman dan sebagainya yang berpotensi untuk berbau busuk.
Tin sardin contohnya, kita bilas dahulu sebelum asingkan. Begitu juga kotak susu segar, kotak jus minuman, botol minuman, kotak santan dan sebagainya, bilas terlebih dahulu. Kalau nak elok keringkan dahulu dan baru asingkan di dalam plastik yang telah dikhaskan untuk sampah jenis tersebut.
Untuk tin seeloknya kemekkan dahulu dan kotak juga boleh dileperkan atau dibuka bagi menjimatkan ruang. Kalau dikemek atau dileperkan, satu plastik boleh isi 3-4 kali ganda berbanding jika dibiar di dalam bentuk asalnya.
Ajar dan didik anak-anak dan juga bibik untuk praktikkannya. Kanak-kanak biasanya suka kerja mengetuk tin sampai leper atau membuka kotak atau meleper dan melipat kotak sebegini.
4. Buang tisu dan kitchen towel bersama sisa makanan.
Ini kerana tisu tadi menyerap segala sisa lembapan makanan dan membuatnya tidak berair. Jadi bila kurang air maka kurang bau busuknya dan jika plastik pecah, air busuk tidak memenuhi tong sampah.
Pastikan sisa makanan diikat rapi dan sebolehnya dilapisi 2 plastik bagi mengelakkannya bocor atau pecah.
5. Asingkan dengan betul.
Sediakan beberapa tong sampah kecil dan didiklah isirumah anda untuk menggunakannya dengan betul. Setiap cebisan kertas, plastik, kotak, kaca dan sebagainya di masukkan ke dalam bekas yang telah ditetapkan.
Setiap perkara jika dilakukan secara konsisten berulang kali maka ianya nanti akan jadi tabiat dan ianya akan lebih memudahkan.
6. Tandakan setiap plastik sekiranya perlu.
Bila hendak dibuang setiap sisa tadi maka masukkanlah ke dalam tong yang betul. Kalau di rumah atau apartment anda cuma ada satu tong sampah besar sahaja maka sisa makanan atau sisa mudah reput (bio-degradeable) dimasukkan ke dalam tong besar tadi.
Sisa lain seperti kaca, plastik, kotak, kertas dan sebagainya di letakkan di tepi tong tersebut. Memandangkan tidak ada kod warna seragam untuk penggunaan plastik berwarna untuk setiap jenis sampah maka sebaiknya tandakanlah. Guna marker pen dakwat putih untuk plastik sampah hitam dan marker hitam untuk plastik sampah warna cerah dan tuliskan jenis sisa/sampah tadi.
Jadi pekerja yang mengutip sampah tahu sampah apa di dalam setiap plastik tadi.
—————————————————————–
Langkah-langkah tersebut tidaklah susah atau berat untuk dilakukan sekiranya langkah pertama kita betul iaitu niat yang baik
Niat baik dan perbuatan ikhlas tadi akan memudahkan orang lain dan juga mengurangkan bau busuk lori sampah di negara kita ini. Bila sampah kurang busuknya maka lalat pun kurang, pekerja pun senang hati.
Jika dipraktikkan atau diamalkan maka ianya akan membantu sistem pembuangan sampah dan kitar semula di negara kita ini.
Banyak kesan buruk dari pembuangan sampah yang tidak terkawal berlaku di negara kita ini seperti sungai yang kotor, longkang yang tersumbat, banjir kilat dan sebagainya.
” Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
(Al-Rum: 41).
Oleh itu, kempen dan penguatkuasaan yang baik moleklah kita ikut dan patuhi. Jangan pernah menganggap yang undang-undang atau penguatkuasaan ini adalah menyusahkan kita atau mengkayakan kerajaan atau kroni atau mengutungkan syarikat pembersihan dan sebagainya.
Buangkanlah mentaliti yang sebegitu. Sama-samalah kita membantu mengurangkan pencemaran sisa dan menjaga bumi yang diamanahkan kepada kita ini.
Jom asingkan sampah kita.
Permudahkanlah kerja orang dan nescaya nanti kerja kita akan turut dipermudahkan olehNya.
Aminnn.
KHAIRUL ABDULLAH
Bekas pengutip botol di Jerman.







Leave A Reply