Kadang-kadang tengok orang bagi signal kiri tapi masuk kanan. Memotong, mencilok, menukar laluan tanpa signal juga perkara biasa. Pandu di laluan paling kanan tapi macam siput pun sangat biasa. Guna emergency lane dah jadi budaya.
Jenis yang tak pakai seatbelt ni toksah cerita lah kan. Kadang-kadang rasa nak bertanya.
“Lesen tu dapat kat mana encik?”
Tapi takut jugak, maklumlah dia bawa keluar steering lock nanti, mau masuk sepital abang yang kurus ni.
Abang dapat lesen memandu sekitar 23 tahun yang lalu. Mudah benar ketika itu. Seingat abang, selepas dapat lesen L (lulus ujian bertulis) abang daftar untuk kursus memandu dan 4 hari jer lepas tu terus dapat lesen.
Cikgu abang nak ajar macam-macam tapi katanya abang dah terrer. Terus dia tunjuk jer jalan A dan jalan B di mana pegawai JPJ akan suruh pandu nanti ketika ujian.
Jadi abang hafal lah kedua-dua jalan tadi. Lepas tu belajar lagi sikit cara parking yang guna 4 tiang tu dengan naik bukit. Semua pembelajaran dalam masa 2 hari.
Hari ketiga abang pergi ujian dan terus lulus dan hari keempat abang dapat lesen.
Itu cerita lesen memandu pertama abang.
Ini pula cerita lesen memandu kedua abang yang diambil di Jerman. Jom abang cerita secara ringkas dalam bentuk point yer. Kalau abang cerita detail panjang bebenor, nanti korang tak baca pulak.
1. Di Jerman, nak dapat lesen memandu ni paling cepat 3-4 bulan. Normal 6-8 bulan dan bagi pelajar yang lembap sikit akan ambil masa sekitar 12-14 bulan. Kos adalah sekitar €1,800 – €2,200.
2. Kena lulus periksa mata dahulu dan kena ada sijil pertolongan cemas kemudian barulah isi borang permohonan untuk belajar memandu dan diserahkan ke pejabat macam JPJ atau majlis bandaran (city hall). Selepas sebulan setelah dibuat background check barulah anda layak atau tidak untuk ambil lesen.
3. Kalau tak lulus maka adalah sebab tu. Mungkin mata rabun teruk ke, ada rekod jenayah ke dan sebagainya. Kalau lulus maka baru boleh pergi sekolah dan belajar teori. Kelas teori wajib hadir sebanyak 14 kelas.
4. Kena praktis dan buat latihan sebab ada 930 lebih kebarangkalian soalan yang akan keluar. Ujian teori adalah sangat sukar kerana ia mempunyai pelbagai pilihan jawapan yakni A, B,C,D dan ada kalanya hanya satu jawapan betul dan ada kalanya 4 jawapan betul dan ada kalanya 4 jawapan salah.
5. Selepas sebulan atau dua maka boleh ambil ujian. Kena jawab 30 soalan dalam masa sejam. Kalau salah 2 jer dah boleh gagal. Abang lulus cemerlang dik. Mana taknya abang hafal kot 900 lebih soalan tu
🙂
6. Kalau lulus maka barulah bawa keputusan ke sekolah memandu. Lepas tu daftar untuk belajar memandu pula. Wajib ambik 12 kelas memandu dimana setiap satu kelas 90 minit.
7. Belajar di dalam suasana sebenar. Tidak ada kawasan lapang atau kawasan khas untuk belajar memandu. Semuanya di dalam real environment. Kereta ikut nasiblah, biasanya BMW, Mercedes, Volkswagen. Abang belajar dengan kereta VW Toureg.
8. Belajar parking di petak parking yang betul di celah-celah kereta di tepi jalan atau di depan kedai dan sebagainya. Banyak tips parking cara professional ditunjukkan dan belajar emergency brake.
9. Wajib belajar memandu di atas lebuhraya. Tak boleh perlahan. Cikgu cakap kena laju mesti lebih 130km sejam. Belajar pandu di lorong yang betul, belajar bagi laluan dan sebagainya.
10. Dah habis 12 kelas maka boleh booking untuk ujian. Biasanya ni dah penghujung bulan ke 3 atau awal bulan ke 4.
11. “Pegawai JPJ” akan datang ke sekolah dan semak semua rekod kehadiran kelas dan sebagainya. Selepas berpuashati barulah ujian dijalankan.
12. Guna kereta yang kita bawa ketika belajar. Cikgu akan berada di sebelah dan pegawai JPJ akan berada di belakang. Setelah meminta kita tunjukkan semua jenis lampu, cermin dan peralatan kereta dan dah puas hati barulah dia suruh jalan.
13. Jalan terus sahaja katanya selagi beliau tak suruh belok. Jalan mana nak pergi ikut suka hati pegawai tersebut. Dia suruh kiri maka ke kirilah kita dia suruh kanan maka ke kanan lah kita. Memang berpeluh time ni sebab jalan tu kita tak pernah lalu.
14. Tiba-tiba dia cakap nak buat emergency brake. Kemudian dia jerit “brake!!” maka kita pun tekan brake kaw kaw. Mesti mau mencicit dan melekat, baru pass.
15. Kemudian dia suruh masuk parking kat mana-mana dia suka. Mungkin sekali parking atau lepas tu masuk parking lain pulak jadinya 2 kali kena masuk parking.
16. Pastu kena naik highway. Ketika nak masuk highway tak boleh terhegeh-hegeh, mesti mau pecut kaw-kaw kemudian masuk lane terus. Kalau speed limit ada maka kena ikut, tapi bila speed limit dah takde maka kena bawak laju-laju.
17. Selepas 45 minit berpeluh maka dia suruh balik ke sekolah. Sampai di sekolah dia akan perati cara kita parking, matikan enjin dan sebagainya.
18. Kalau lulus, dalam kereta tu jugak dia ucap tahniah dan terus bagi lesen yang memang dia dah siap bawak. Kalau gagal maka lesen tu dia bawak balik. Lain kali cuba lagi katanya.
Abang kira champion lah jugak sebab sekali ambik terus lulus. Semuanya dalam masa sekitar 4 bulan. Kebanyakan orang ambik ujian 2 kali baru lulus.
————————————–
Moral cerita.
Kadar kemalangan maut di Jerman adalah sekitar 43 orang setahun untuk setiap sejuta penduduk berbanding Malaysia iaitu 240 orang setahun untuk setiap sejuta penduduk dimana perbezaannya sangat ketara.
Sudahlah lebuhrayanya tiada had laju, kereta memecut laju nak mampus. Lebuhrayanya pula sebatang tiang lampu pun tak ada, gelap gelita dik. Namun kadar kemalangan mautnya sangat rendah pula.
Tentu ada sesuatu di sebalik sikap atau gaya pemanduan rakyat Jerman yang membuatkan kadar kemalangan mautnya jauh lebih rendah.
Kenapa yer?
Yang pastinya bukan sebab lesen, nombor plet, atau cermin gelap.
Pemandu di Jerman tiada….
Entahlah..
Harap-harapnya pemandu kita pun buang mentaliti tu jauh-jauh. Mudah-mudahan ramai pemandu di Malaysia akan tahu apa itu lampu signal dan cara menggunakannya.







Leave A Reply