• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Pemandu Teksi Samseng

10/05/2016

Baru sahaja berhenti kereta dan mematikan enjin, “zasssss” sebuah teksi berhenti di petak parkir sebelah. Nasib baik belum sempat buka pintu, silap-silap boleh tercabut pintu tu nanti.

Saya menunggu di dalam kereta bersama baby Khaleel dan isteri bersama Khaleef pergi ke pasar tersebut. Sekitar 15 minit kemudian kelihatan isteri saya menjinjing barangan sambil memegang tangan Khaleef di sebelah tangan lagi dan berjalan menuju ke kereta.

Sampai sahaja dan ketika melepaskan tangan anak sebentar bagi membuka pintu dan memasukkan barangan, teksi di sebelah tadi zasssss berundur keluar.

Isteri saya terkejut, anak saya terkejut.

“Aduhhh pakcik ni, tak sabar sabar” ngomel isteri perlahan.

Tidak tahu bila masa pemandu teksi sudah sampai balik ke kereta dan keluar dengan tergesa-gesa tanpa memperdulikan yang seorang anak kecil berada betul-betul di sebelah teksi tersebut.

Saya yang ketika itu baru sahaja membuka pintu dan melangkah sebelah kaki untuk keluar membantu cuma terkejut dan mendengar isteri saya membebel.

Saya bingkas membantu memasukkan Khaleef ke kerusinya dan memasukkan barangan ke dalam kereta.

Sebaliknya, teksi tadi yang baru keluar dari parking berhenti betul-betul di depan kereta saya dan membuka tingkap lalu bersuara.

“Awak kata apa tadi??” dengan nada yang sangat marah kedengarannya.

Saya yang sedang memasukkan barangan agak terkejut lalu berpesan kepada isteri supaya jangan menjawab, nanti panjang cerita. Saya hanya menoleh kepada pemandu teksi yang sedang memerhatikan kami dengan muka bengis ya amat dengan gaya bersiap sedia untuk bergaduh.

Saya cuba memberikan senyuman sahaja namun agak tawar.

Bila isteri dah masuk, saya juga masuk kereta dan sempat melihat gelagat pemandu tadi yang masih menyekat kereta saya dengan gaya ala gangster.

Hati saya panas membuak, kalau saya pergi kepadanya dan menegur pasti takut jadi pergaduhan besar pulak. Benda mungkin kecil baginya, namun bagi kami ianya besar kerana melibatkan nyawa anak.

Namun saya mengambil langkah untuk tidak mahu bergaduh dan memanjangkan cerita. Saya istighfar banyak-banyak. Saya cuba lemparkan senyuman paling menawan sebagai tanda maafkanlah kami jika ngomelan kecil isteri saya tadi mengguris hati besar beliau.

Namun beliau masih memandang dengan bengis. Saya serta pemandu lain yang ingin keluar dari situ terpaksa menunggu kerana disekat oleh beliau.

Beberapa minit berlalu dan pemandu tadi masih menyekat laluan tanpa menghiraukan kereta lain yang turut tersekat oleh perbuatannya itu.

Jadi, saya tida pilihan melainkan meraba-raba ruangan simpanan di tepi pintu kereta dan mengeluarkan kaca hitam saya yang paling gempak berjenama ayam yang dibeli dengan harga RM29 beberapa bulan lepas.

Usai memakai sahaja kacamata hitam tersebut, pemandu teksi tadi segera menaikkan cermin keretanya dan beredar.

Nampak tak kenapa?

Saya rasa baru dia sedar yang dia sedang berhadapan dengan adik sepupu sebelah biras kepada Rajinikanth. Kami adalah hero yang sukar ditewaskan.

Makanya, kami dan pemandu lain pun dapatlah keluar dari kawasan parkir tersebut, namun nun di hujung simpang, teksi tersebut berhenti menunggu.

Sekian cerita saya.
.
.
.
.
.

Ingatan kepada diri sendiri dan semua, berhati-hatilah ketika hendak keluar dari parkir, tengok kiri kanan, tengok bawah, belakang dan sebagainya. Pastikan kita tidak membahayakan nyawa orang lain serta nyawa kucing atau anjing yang tumpang berteduh di bawah kereta kita.

Mungkin ada juga yang beranggapan itu juga adalah salah kami. Ya saya tidak nafikan kerana isteri turut melepaskan sekejap tangan anak ketika ingin memasukkan barangan.

Namun kita semua sama-samalah menjaga keselamatan diri dan orang lain. Memang tiada apa yang berlaku, namun bagi anak kecil yang mudah terkejut akibat bunyi deruan enjin kereta, kita tidak dapat menjangka reaksi mereka apabila mendengar bunyi tersebut.

Kepada pemandu teksi tersebut, saya pohon maaf jika teguran kecil isteri saya itu mengguris hati pakcik. Semoga pakcik lebih berhati-hati di masa hadapan dan kurangkan sikit sifat panas baran tu.

Satu lagi, janganlah tunggu di tepi jalan dan cuba kejar kereta saya.

Walaupun kereta saya kecil 2 pintu sahaja namun saya bekas pelumba professional yang juga bersaudara dan berkongsi aura dengan Rajinikanth.

Makan asaplah jawabnya.

Share

Blog  / Complaints  / Experience  / Parenting  / Peoples

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved