Saya adalah seorang dewasa yang matang dan bukannya remaja yang gila populariti. Tidak perlu untuk saya menulis atau mereka cerita best yang sensasi serta palsu demi untuk meraih populariti.
Populariti adalah bagus demi membesarkan khalayak pembaca namun bukanlah dengan cara menulis cerita atau artikel yang palsu demi untuk mendapat like, komen dan juga share.
Niat saya di dalam menulis hanyalah memberi kesedaran kepada masyarakat dengan berkongsi cerita yang baik yang boleh dijadikan iktibar dan tauladan. Kita perlukan cerita-cerita sebegitu untuk memulihkan masyarakat dari penyakit kurang sivik, adab dan akhlak.
Setiap apa yang saya tulis samada di blog, di FB ini mahupun di dalam buku saya serta di majalah dan sebagainya sudah pasti saya akan menulis cerita yang benar, samada dari pengalaman dan pengamatan saya sendiri atau dari maklumat-maklumat lain yang saya sudah kaji kesahihannya.
Itu tanggungjawab saya sebagai penulis.
Amatlah berdosanya saya sekiranya saya menulis perkara yang palsu dan membuatkan ramai yang membaca mendapat maklumat yang salah.
Oleh yang demikian, sekiranya para pembaca rasa apa yang saya tulis di artikel-artikel yang akan datang seperti “too good to be true” atau pelik, tak munasabah dan sebagainya maka usahlah dikomen terlebih dahulu atau sembrono menyerang.
Buat semakan, atau Google dan cari kesahihan maklumat tentang apa yang saya ceritakan. Saya sebagai manusia biasa kadangkala ada yang terlepas pandang. Kalau saya salah atau ada maklumat yang kurang tepat maka tegurlah. Kalau saya betul maka bacalah dan ambil manfaatnya.
Setiap perkataan yang saya tulis akan diadili di akhirat kelak. Jadi saya harus memikul beban tanggungjawab tersebut.
Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang sentiasa membaca dan menyokong penulisan saya selama ini.
Selamat datang juga buat pengikut ke 20,000.







Leave A Reply