Pagi tadi ke hospital untuk mendapatkan laporan perubatan arwah isteri.
Sedang menunggu untuk membayar, saya memerhatikan kelibat pasangan-pasangan muda yang baru menyambut cahayamata pertama.
Didakap kemas, dicubit pipi, dipeluk, dicium oleh mak dan ayahnya dengan senyuman penuh kegembiraan.
Bahagia rasanya.
Teringat kembali ketika Khaleef dilahirkan. Kami menunggu hampir 10 tahun untuk mendapat anak pertama. Telinga dah lali dengan segala pertanyaan, perlian mahupun kutukan.
Alhamdulillah pada 10 Januari 2014, ketika suhu di luar negatif 3 darjah Celcius di bawah paras beku, anak sulung kami dilahirkan berteman saya, seorang bidan dan juga seorang doktor di sebuah hospital di Jerman.
Bahagia rasanya.
Saat paling bahagia di dalam perkahwinan kami.
Selang 23 bulan kemudian pada 5 Disember lahir pula Khaleel di Hospital Putrajaya. Lahirnya ada komplikasi. Tubuhnya biru dan kaku tanpa sebarang tangisan.
Pabila tali pusat diputuskan, Khaleel terus dibawa keluar dari dewan bersalin dan ketika isteri bertanya mana baby? Saya hanya mampu menjawab yang baby ok.
Saya keluar berjalan ke kawasan parking yang tiada orang dan di bawah sepohon pokok rendang saya menangis. Ya Allah kau selamatkanlah anak aku Ya Allah, saya berdoa dengan linangan airmata.
Sekitar 40 minit kemudian baru saya dipanggil untuk melihat baby Khaleel yang diletakkan di dalam sebuah bekas bertutup berisi oksigen yang saya tak tahu apa bendanya.
Alhamdulillah dia ok.
Selang 24 bulan kemudian Khaleed lahir pula di hospital yang sama berkongsi tarikh lahir dengan abangnya Khaleel pada 5 Disember.
Saya di bawah pohon yang sama menangis kegembiraan menyambut anak ke-3 kami. Ya Allah, kau kurniakanlah kesihatan yang baik kepada anak-anak kami Ya Allah. Kau bahagiakanlah kami.
Alhamdulillah, kami sangat bahagia.
Namun 31 Julai yang lalu, ketika dikhabarkan yang isteri saya sedang bertarung maut, saya luluh. Saya bersolat hajat dengan penuh hiba dan tidak selesa untuk saya menangis di surau, lalu saya ke bawah pohon yang sama.
Disitulah saya luahkan segalanya. Disitulah saya mengenang dia dan anak-anaknya. Di situlah terpahat memori pahit manis kami sekeluarga.
Tiada bahu untuk ditumpang, tiada tubuh untuk didakap. Hanya pohon itu, yang berdesir-desir daunnya ditiup angin cuba menenangkan esakan saya.
Ya Allah, kau permudahkanlah untuk isteriku ya Allah, aku redha jika jodoh kami sampai di sini sahaja. Habis kering air mata.
Luluh, bila akhirnya dia tinggalkan kami selamanya.
Tadi, saya singgah di pohon yang sama.
Saya renung ranting dan daunnya lalu berdoa kepada Yang Esa semoga redakanlah kerinduan saya padanya.
Kerana sesungguhnya kerinduan itu amat menyakitkan.
Ameen.







Leave A Reply