Sesungguhnya saya sabar, saya tabah dan saya sudah move on demi anak-anak yang bergantung sepenuhnya kepada saya.
Sayalah bapa sayalah ibu.
Saya yang memberikan susu dan saya yang mendodoikan tidurnya. Saya yang memasak dan saya yang mengemasnya. Saya buat semuanya.
Tidak sempat untuk saya terus berduka.
Apa yang saya tulis atau coretkan di sini adalah imbauan perasaan saya untuk saya kongsi bersama rakan-rakan sekalian dan juga untuk kenangan saya dan anak-anak satu hari nanti.
Ia juga merupakan terapi untuk saya di samping timeline record untuk saya menulis buku kisah kami nanti.
Jadi jangan anggap saya tidak menerima takdir atau saya masih bersedih berduka dan menangis di bucu katil. Atau berulang-alik ke kuburan sambil bersedu-sedan di tepi pusara.
Saya tidak ada masa untuk berbuat demikian kerana ada tiga jiwa yang sedang lasak membesar perlu diuruskan, perlu dileraikan gaduhnya, perlu disenyapkan tangisnya, perlu dijawab segala soalannya dan perlu dikenyangkan perutnya.
Ketahuilah semua, saya buang kesedihan, saya keraskan hati dan saya tabahkan diri demi untuk melihat anak-anak tidak terganggu rutin dan terencat emosi.
Ketahuilah juga yang sabar, tabah dan kuat adalah rakan saya sepanjang proses ini. Saya sudah bersahabat baik dengan ketiga-tiganya.
Yang saya pinta dari semua hanyalah secebis doa.
Doakanlah semoga segalanya dipermudahkan untuk saya dan tiga anak kecil ini.
Terima kasih.







Leave A Reply