Saya pasti ramai yang pernah terlibat di dalam acara perbarisan Hari Kemerdekaan negara kan?
Ada yang berkawad, ada yang berbaris, ada yang menari, ada yang buat formation bentuk logo dan sebagainya. Saya juga pernah. Seronok ya amat.
Macam-macam kejadian dan pengalaman yang kita kutip semasa kita bersama-sama menjayakan acara besar negara tersebut. Ada yang best dan ada juga yang tak best.
Namun kita simpanlah sebagai kenangan yer.
Bukan saya nak cerita pasal kenangan tersebut, tetapi nak cerita tentang merdeka dan patriotisme.
Saya tidak tahu pasal orang lain, namun bagi saya, demi Allah saya sayangkan negara saya. Saya tidak pernah dan tidak akan sekalipun memburukkan negara saya.
Saya amat marah bila ada orang memburukkan negara saya. Apatah lagi orang tersebut adalah warganegara yang sebangsa dan seagama dengan saya.
Kadang-kadang ada orang yang halau saya, ada orang suruh saya pergi keluar dan tinggal di negara lain kerana saya sering mengkritik sikap dan adab warga Malaysia.
Saya juga sering membandingkan negara ini dengan negara lain yang lebih baik kononnya. Bukan saya seorang, kawan-kawan yang lain juga bila ada menyuarakan pendapat atau kritikan serta membandingkan dengan negara lain maka akan turut disuruh berpindah keluar.
Demi Allah, saya tegur dan kritik adalah kerana saya mahukan kita menjadi warganegara yang hebat. Saya mahukan kita menjadi lebih baik, sesuai dengan status negara kita sebagai sebuah negara Islam.
Saya mahukan kita semua warganegara menjadi warga yang “selfless” tidak mementingkan diri sendiri, bertoleransi, menjaga adab dan tertib, menjaga kebersihan dan mencerminkan imej Islam yang paling baik.
Itulah matlamat saya kerana sesungguhnya saya seorang yang sangat patriotik dan sangat cintakan negara saya.
Sempena hari ulangtahun kemerdekaan yang ke 60 tahun ini, marilah kita bermuhasabah diri dan melihat kembali apa sumbangan kita kepada tanahair tercinta.
Jangan sebab marah dan benci kepada kerajaan, kita berpaling tadah dan membenci negara lalu memburuk-burukkan negara pada musuh di sekeliling.
Ingatlah, tanah ini tempat kita dilahir dan dibesarkan. Hampir pasti di tanah ini juga kita akan dikuburkan.
Merdekakanlah jiwa dan raga.
Semoga Allah memberkati tanah air kita.
Merdeka, merdeka, merdeka.







Leave A Reply