Ketika memandu pagi tadi, terdengar perbualan di radio tentang hari guru. Ramai pendengar menelefon dan bercerita tentang pengalaman dan kenakalan mereka di zaman persekolahan dulu dan mengambil kesempatan untuk memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada guru mereka.
Saya rasa terpanggil untuk menulis tentang pengalaman “kenakalan” saya di zaman sekolah dulu.
Tinggal di asrama sedari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 5 memberi pelbagai pengalaman yang cukup bermakna kepada saya dan kawan-kawan lain. Macam-macam perkara yang melanggar peraturan sekolah dilakukan dan semuanya dilakukan dengan penuh dedikasi. Kalau disuruh belajar, kami main-main, tetapi kalau merokok, ponteng “prep”, pecah masuk dewan makan, masuk kantin, masuk ko-op, lompat pagar dan masuk asrama puteri, kami “champion”.
Kenakalan itu juga menyebabkan hampir 10 orang dari kami termasuk saya terpaksa beratur di dalam bilik kaca untuk dilakukan “kawad cam” atau proses mengenalpasti suspek di balai polis bagi satu kes kecurian.
Kalau setakat rotan di dalam bilik warden tu, dah tak ingat berapa kali kena, itu belum dicampur rotan di asrama atau ketika lambat ke perhimpunan pagi dan sebagainya. Kalau ada 3 jenis rotan di dalam bilik warden, saya pernah merasa kesemuanya. tetapi tak sehebat kesan kena ketuk-ketampi sebanyak 100 kali, akibat ponteng terawih dan main catur di dalam bilik. Seingat saya kami berempat atau berlima diarahkan ketuk ketampi di “courtyard” asrama sambil semua pelajar lain mengira. Tak sempat sampai seratus, mungkin dalam 50 lebih, dah tak termampu untuk bangun. Akibatnya..merangkaklah ataupun dipapah ke bilik asrama.
Semua itu adalah pengalaman biasa, sebab semua kesalahan yang dilakukan tidak melibatkan atau merosakkan orang lain, cuma diri sendiri dan tempat yang dipecah masuk dan sebagainya.
Namun satu kejadian yang melibatkan seorang guru sentiasa berada di dalam ingatan saya.
Kisahnya begini, pada suatu petang ketika waktu bersukan, saya dan Mat Top (Ahmad Tarmizi) berada di sekitar pondok pengawal di pintu masuk utama sekolah, ketika itu saya terdengar perbualan melalui radio (walkie-talkie) di antara pengawal dan warden. Butiran percakapan amat jelas yang mana perancangan sedang dibuat antara mereka untuk menyerbu tandas di blok kelas kami selepas makan malam iaitu sewaktu kelas persediaan malam atau dipanggil “prep malam” bermula. Kebiasannya waktu itu kami ramai-ramai akan merokok di dalam bilik air tersebut sebelum masuk ke kelas.
Maklumat sulit tersebut saya sampaikan kepada semua rakan-rakan. Malam itu kami tidak membawa rokok ke kelas dan selepas makan malam, kami terus ke sekolah dan langsung ke bilik air “port” utama kami untuk merokok. Setibanya di situ, kami perasan yang ada satu pintu tandas telah berkunci dan ada orang di dalamnya. Kami yakin bahwa itu adalah warden yang sedang menunggu untuk memberkas kami.
Lalu…kami beramai-ramai menjerit “sapa lah berak ni, busuk sunguh”..dan macam-macam sindiran lain. Ada yang menendang pintu dan mengarahkan orang di dalam untuk keluar. Di samping itu, kami juga memercik dan mencurahkan air ke dalam tandas tersebut. Semuanya lakukan seolah-olah orang yang berada di dalam tandas tersebut adalah salah seorang dari kawan kami.
Selepas beberapa ketika, keluarlah warden dari tanda tersebut dalam kebasahan dan muka yang merah padam. Kami semua bertempiaran lari masuk ke dalam kelas sambil ketawa.
Dan…selepas itu, semua warden mengamuk. Saya tak berapa pasti samada beberapa orang dari kami kena pelempang selepas itu.
Lima atau enam tahun selepas itu, kami beramai-ramai pergi ke rumah warden tersebut dan memohon maaf, di hari raya.
Pengalaman paling “tragis” adalah dirotan di perhimpunan sekolah, sebulan dua sebelum SPM. Saya merasakan yang itu adalah rotan yang pertama saya terima dari pengetua sekolah dan yang paling sakit. Kami tidak dirotan di punggung tetapi di antara punggung dan peha. Sakitnya…melekat seminggu.
Masih saya ingat yang kami seramai 10 orang dibariskan di hadapan perhimpunan, menyayikan lagu negaraku dan lagu sekolah. Selepas itu pengetua memesan kepada semua pelajar supaya jangan ikut contoh kami semua yang berada di dalam barisan tersebut. Katanya, kami adalah para pelajar yang akan gagal dan yang akan merosakkan nama sekolah.
Selepas itu pengetua mengarahkan warden untuk mengambil rotan di bilik warden. Kami dipanggil seorang demi seorang, berdiri dihadapan pengetua dan tangan diletakkan di atas rostrum tempat beliau berucap. Punggung membelakangkan semua pelajar lain. Seingat saya Hamdan (seorang Jurutera Daerah) adalah orang yang pertama. Dua das rotan dihayunkan, dan setiap kali selepas dirotan, punggungnya akan nampak berasap (seperti efek di dalam filem pergaduhan apabila hero memukul orang jahat dan efek berdebu akan keluar). Ini adalah kerana efek berasap tersebut adalah daripada debu seluar (maklumlah, seluar sekolah dibasuh sebulan sekali atau dua sahaja). Nampak saja efek berdebu tersebut..saya menjadi gerun. Ini pasti sakit.
| Efek berasap yang menggerunkan |
Peserta kedua yang dirotan saya tak ingat. Saya adalah peserta yang ketiga atau keempat. Antara rakan-rakan saya yang dirotan pada pagi yang berbahagia itu ialah, Hamdan, Asram, Mat Kong, Fuad, Kodek, Mat Snap dan yang lainnya saya tak berapa pasti. Sekiranya ada rakan saya yang terbaca artikel ini, sila ingatkan saya.
Tetapi yang pastinya, kami tidak memburukkan nama sekolah. Kami semua mendapat Pangkat 1 di dalam SPM. Kami semua sekarang sudah berjaya. Sekolah kami juga sekarang adalah salah sebuah sekolah berprestasi tinggi yang diumumkan oleh kerajaan setahun atau dua tahun yang lepas.
Itu adalah sebahagian daripada ratusan pengalaman lain yang saya dapat ketika tinggal di asrama. Saya merasakan yang kenakalan kami dahulu membuatkan kami lebih kreatif. Tidak dinafikan juga yang pelajar-pelajar yang nakal adalah mereka yang bijak dan lebih berdikari serta mampu berjaya di dalam hidup. Kami bukan budak jahat..kami cuma nakal.
Dikesempatan ini, saya ingin memohon jutaan maaf kepada semua guru di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar Perlis 1987-1991 di atas perbuatan saya dan rakan-rakan sepanjang 5 tahun kami membesar di sana. Saya dan rakan-rakan juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru yang telah bersusah payah mendidik kami sepanjang tempoh tersebut. Halalkanlah semua ilmu yang diberikan kepada kami dunia dan akhirat.
Selamat Hari Guru.
Blog
/
Experience
/
Lesson
/
Peoples
/
Places







6 Comments
"Ya, cikgu maafkan awak" 😛
Terima Kasih Cikgu June..:)
salam,
nak tergelak baca entry ni..nasib baik semua jadi orang errkk..
satu soalan..pesal budak lelaki suka bebenor nak masuk dorm pompuan.. another thing nama mat top mmg glamer sungguh kat mana2 sekolah mesti ada mat top..sama mcm my school..tapi kalau tak silap budak tu dah tak ada
Wsalam,
Memang kelakar…dulu nakal gila kat sekolah. Alhamdulillah..semua orang menjadi “orang” takde yg jadi hantu 🙂
Kenapa budak lelaki suka masuk dorm pompuan eh? Pasal org laki sgt suka kat org pompuan – so diorang nak tgk dgn lebih dekat 🙂
Nama mat top tu i tak tau ler plak glamer sampai cam tu sekali. Yang pastinya mat top kawan i tu seorang engineer yg kawin dgn japanese dan anak dah 3 orang.
Ooo…budak nakal rupanya hang ni ye!
Memang betul ramai budak yg masa kecil nakal tapi dah besar “jadi orang”.
Tapi bila dah ada anak, kita masih takut bila anak2 kita nakal, risau apa akan jadi bila mereka besar nanti.. (padahal masa kecil kita pun sama macam tu). Betul tak? Macam mana agaknya kalau little Khaleef ikut jejak langkah papa???
Hahaha..sangat nakal di sekolah dulu. Tu baru cerita sikit jer 🙂 Budak2 nakal ni semuanya bijak2 sebenarnya.
Saya rasa anak saya si Khaleef tu pun akan ikut macam ayah dia jugak kot.