“Kita dah upgrade ke 500 ni cik, tak nak ke?”
“Tak perlu 500 mb tu. Saya bukan nak naik ke bulan, takat nak tengok FB, Youtube dan Netflix jer pun. Lagipun selama ini saya langgan 50 pun asyik dapat tak sampai 30 pun. Bayar sama jugak, menyampah”
Lalu kakak di kaunter itu pun tersenyum dan menukar pakej internet saya dan jimatlah saya RM100 sebulan.
Kemudian langsung ke PTPTN, bukan bayar hutang tetapi nak buka akaun SSPN. Nanti-nanti budak 3 orang tu nak sambung belajar, jenuh jugak kalau takde simpanan.
Maka selesailah tabung pendidikan anak-anak.
Seterusnya ke bank pula, buka juga akaun untuk ketiga-tiga mereka. Bukan apa, saya sekarang dah tak ada penama untuk mewarisi royalti saya. Sebelum ini nama isteri, sekarang kena tukar nama anak-anak.
Selesailah urusan bank.
Urusan, ASB, Tabung Haji dan lain-lain sudah diselesaikan sebelum ini, jadi dah tak payah pergi dah.
Seterusnya ke Celcom pula.
Nak tamatkan talian telefon isteri. Sebelum ni saya biarkan sahaja talian tersebut kerana banyak urusan arwah yang masih belum selesai. Dah selesai semuanya maka tak perlu lagi.
Agak berat hati juga sebenarnya nak tamatkan talian tersebut. Itu sahaja sebahagian dari arwah isteri yang masih “hidup”. Kalau rindu boleh juga Whatsapp.
Awal-awal dulu saya kerap juga Whatsapp dari telefon arwah kepada saya. Bila nampak Whatsapp isteri masuk, hati rasa berbunga-bunga. Padahal diri sendiri yang hantar. Rasa macam “pathetic” pun ada waktu tu.
Kadang tersenyum sendiri, kadang termenangis selalunya. Tapi begitulah, siapa yang pernah rasa dia tau lah. Akhirnya mati juga talian telefon tersebut. Tak boleh nak Whatsapp lagi dah.
Entahlah.
Namun, selesailah juga segala urusan yang tertangguh terutamanya bab anak-anak. Alhamdulillah, segala urusan masa depan diorang dari simpanan, pelaburan, insurans dan sebagainya telah disediakan.
Kalau saya mati esok pun, kebajikan dan masa depan diorang Insha-Allah terjaga.







Leave A Reply