Jerman sangat berjaya di dalam usaha mengurangkan pengeluaran sampah yang semakin meningkat setiap hari. Kitar semula adalah salah satu sumbangan negara ini untuk perang global terhadap alam sekitar dan ianya sangat berjaya. Tetapi keseluruhan subjek mengenai kitar semula dan cuba untuk memehami sistem tersebut adalah merupakan sesuatu yang agak sukar bagi orang yang baru tiba di negara ini.
Namun begitu, terdapat garispanduan mengenai kitar semula yang boleh diikuti yang pada mulanya saya rasa agak mengelirukan tetapi setelah beberapa ketika saya dapat mengendalikan sampah seperti seorang professional yang bekerja di Majlis Bandaraya.
Jerman mengeluarkan sampah hampir 30 juta tan setahun. Namun dengan pengenalan sistem “Green Dot” atau sistem titik hijau telah berjaya mengurangkannya. Pengeluar/pengilang dan juga penjual perlu membayar yuran/cukai “Green Dot” terhadap setiap produk yang dikeluarkan atau dijual. Lebih banyak pembungkusan dibuat terhadap sesuatu produk (seperti makanan misalnya terdapat aluminium foil di dalam, kemudian dimasukkan ke dalam kotak dan dibalut lagi dengan plastik) akan menambahkan lagi yuran atau cukai “Green Dot”. Sistem bijak ini telah berjaya mengurangkan penggunaan kertas, kaca yang lebih nipis dan kurangnya penggunaan besi/aluminium serta plastik dan secara langsung kuranglah sampah yang perlu dikitar semula. Hasilnya, sampah berjaya dikurangkan sebanyak 1 juta tan pada setiap tahun.
The Green Dot symbol
[quote style=”1″]Faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan sistem kitar semula di Jerman adalah pengasingan sampah. Dan di sinilah segalanya bermula.[/quote]
Kita mulakan dengan yang paling mudah iaitu kaca. Sebarang jenis kaca atau botol yang tidak boleh dipulangkan yang mana anda tidak membayar deposit “Pfand” (minuman di dalam botol contohnya dijual dengan harga termasuk deposit botol dimana sekiranya anda memulangkan semula botol tersebut wang anda akan dikembalikan) perlu dibuang di dalam tong untuk buangan kaca lutsinar. Ini termasuklah botol minuman, jem, jus dan sebarang botol lutsinar. Pinggan, seramik dan cermin pula di dalam tong yang lain. Terdapat slot yang berlainan di dalam tong buangan kaca untuk mengasingkan gelas dan kaca berwarna seperti hijau, coklat dan juga lutsinar.
Perkara yang perlu diberi perhatian di sini ialah bilakah anda tidak boleh mengitar semula? Suka saya memberitahu bahawa di Jerman terdapat terma “Waktu Berdiam” di dalam kontrak rumah atau apartment anda iaitu anda tidak boleh membuat sebarang bunyi di dalam tempoh tersebut. Di apartment saya tempoh berdiam setiap hari adalah pada jam 12.00 tengahari sehingga 3.00 petang. Jadi tidak dapat mengitar semula botol pada tempoh waktu tersebut kerana ianya akan mengeluarkan bunyi yang tidak disenangi oleh jiran anda.
Tong lain yang dapat dilihat di kediaman anda ialah tong bewarna hijau, biru, kuning, coklat dan juga kelabu. Kadang-kadang hanya penutup tong yang berlainan warna. Dan sekiranya tiada tong berwarna, warna penutup tong perlu diambil kira. Semua majlis bandaraya atau pihak berkuasa tempatan mempunyai sistem yang sama. Sekiranya anda tidak jumpa tong berwarna kuning contohnya untuk dimasukkan sampah dan anda perlu memasukkan sampah tersebut di dalam plastik beg berwarna kuning dan akan dikutip oleh lori pada hari-hari tertentu. Jadual kutipan sampah akan dimasukkan ke dalam peti pos rumah anda.

Kod warna dan kegunaan
Bagi kertas pula, setiap bungkusan yang dibuat dari kertas dan “cardboard”, suratkhabar, majalah, bungkusan kertas, beg kertas dan sebagainya perlu dimasukkan ke dalam tong biru. Anda perlu membuka bungkusan kotak contohnya dan meratakannya terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam tong dan perlu juga dipastikan yang anda hanya membuang kotak kertas tidak termasuk plastik pembungkusannya.
[quote style=”1″]…anda digalakann untuk membersihkan secara ringkas sisa-sisa tin serta cawan atau bekas memadai dengan melalukannya di bawah air paip bagi membuang sisanya…[/quote]
Sekarang kita pergi ke sisa buangan yang lebih rumit iaitu tong kuning. Tin aluminium bertanda “green dot”, plastik, polisterin, aluminium dan bahan komposit seperti kotak minuman yang dibuat dari campuran kertas dan aluminium perlu dimasukkan ke dalam tong kuning atau di dalam plastik beg kuning sekiranya tiada tong. Anda tidak boleh memasukkan atau menyumbat sisa ke dalam sisa seperti menyumbat tin aluminium yang dikemekkan ke dalam kotak minuman atau bekas “yogurt” ke dalam tin sardin dan sebagainya. Oleh kerana sisa dari tong kuning ini nanti akan diasingkan oleh tangan di pusat pengasingan, jadi anda digalakann untuk membersihkan secara ringkas sisa-sisa tin serta cawan atau bekas memadai dengan melalukannya di bawah air paip bagi membuang sisanya (No need to scrub, just a light rinse – i couldnt build a good sentence in Malay, Sorry). Β Ianya bagi mengelakkan bau dan juga sisa biologi yang bakal menyusahkan pekerja pengasingan.
Sekarang kita pergi pula kepada sisa buangan lain iaitu “biological waste” atau sisa yang mudah reput seperti makanan dan tumbuhan yang mana merupakan 50 peratus daripada keseluruhan sisa buangan di Jerman ini. Sisa biologi adalah terdiri dari semua sisa buangan yang mudah terlerai (compost) seperti sisa masakan, kupasan kentang dan bawang, sisa makanan, uncang teh atau kopi dan juga tisu dapur. Semua sisa ini perlu dibuang ke dalam tong coklat. Di musim panas, tong ini dikutip dengan lebih kerap kerana cuaca panas mengundang kepada lalat dan bau yang lebih kuat.
Sekiranya anda tidak mempunyai tong coklat, dan tidak mempunyai tanah atau taman untuk membuat longgokan atau lubang sampah bilogi ini, anda boleh membuangya ke dalam tong kelabu. Tong ini adalah destinasi terakhir bagi bahan atau sisa seperti, lampin kanak-kanak, tuala wanita, puntung rokok, sikat rambut, kuali, kain baju, stoking, seluar dalam, tisu dan pelbagai barang “personal hygiene” yang lain. Semua sisa buangan ini akan dibakar.
Di perenggan akhir artikel ini, terdapat beberapa item atau sisa yang masih belum dibincangkan iaitu sisa merbahaya. Sisa ini adalah seperti, bateri dan asid, tin cat, bekas atau tin peluntur, bekas racun serangga dan sebagainya mesti dibuang berasingan dan tidak boleh dimasukkan ke dalam sebarang tong. Pihak berkuasa tempatan atau dewan atau majlis bandaraya akan datang ke tempat anda pada waktu-waktu tertentu (jadual telah diberikan) untuk mengutip barangan tersebut. Sekiranya bahan ini anda buang ke dalam tong kelabu, apabila dibakar ianya akan mengeluarkan gas yang merbahaya.
[quote style=”1″]Bateri boleh dibuang berasingan. Kebanyakkan kedai atau kawasan membeli belah menyediakan tong kecil untuk membuang bateri supaya dapat dilupuskan dengan betul.[/quote]
Sekiranya ada lagi barangan yang anda ingin buang dan tidak dapat dimasukkan ke dalam tong atau dibuang begitu sahaja seperti tilam, almari, sofa, mesin basuh, barangan elektrik dan sebagainya, anda hanya perlu meletakkannya di luar rumah anda ditepi jalan dan barangan ini akan dikutip oleh majlis bandaraya. Tetapi kebiasaannya, barangan ini tidak akan sampaike tempat pelupusan kerana ia akan dikutip oleh penjual barangan terpakai dan juga oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk megambil barangan tersebut. Sepanjang tempoh saya di sini, semua barangan yang diletakkan di tepi jalan adalah masih berkeadaan baik dan masih boleh digunakan seperti rak buku, radio, rak kasut, almari kecil, sofa dan juga tilam berserta katil.
Selain itu, terdapat juga pusat-pusat kecil bagi pengumpulan sisa dan kitar semula ini di mana anda boleh membawa sisa buangan anda dan pergi terus ke pusat pembuangan sampah. Disana anda akan diberi panduan untuk membuang sampah di tempat yang betul.
[quote style=”1″]Lagi kurang sampah anda maka lagi kuranglah bebanan untuk mengkelas dan membuangnya[/quote]
Tidak dinafikan yang sistem pengkelasan dan pembuangan sisa ini dirasakan terlalu membebankan. Namun, objektif utamanya dalah untuk meminimakan sampah anda. Lagi kurang sampah anda maka lagi kuranglah bebanan untuk mengkelas dan membuangnya. Untuk lebih praktikal, sentiasa membawa beg membeli belah anda sendiri dan jangan beli plastik beg (di sini setiap plastik beg harus dibeli) dan ini mengurangkan sampah plastik di rumah anda. Sentiasa beli barangan yang boleh ditambah semula (refill) dan barangan yang mempuyai tanda “Green Dot” kerana pengeluar barangan tersebut turut membantu kempen kitar semula melalui sumber kewangan mereka.
Sekarang saya dan anda sudah tahu sedikit sebayak tentang kitar semula, tentang sistem pengkelasan sisa dan sistem tong dan warna. Di sini ada perlu tahu sampah atau sisa mana perlu dibuang dan pada hari apa. Jadual kutipan sampah akan sentiasa ada di dalam peti surat anda. Jadi tiada masalah.
Walaupun sukar dan memeningkan pada mulanya, namun saya agak berbangga kerana berjaya mengikut dan mempraktikkan sistem kiar semula di Jerman ini. Something for my resume, no doubt!
Artikel ini ditulis sebagai sebuah perkongsian ilmu dan juga pengetahuan yang mungkin boleh dijadikan panduan dan tauladan terhadap sistem kitar semula di Malaysia.











32 Comments
Ya ampunnn… Systematic betol kan mereka.. Siap ada tempoh bunyi tu. And machine plg kan balik duit deposit botol2 kaca… Mmg memberi impak jauh lebih bagus kan.
Aah…sama seperti di Jepun. Tetapi di Jepun lebih sistematik dan lebih tersusun dan teratur pengasingannya (sikap org jepun yg pembersih). Menjadi pemandangan biasa di sini melihat orang mengutip botol di tong sampah kerana harganya 25sen satu. Jadi botol kaca dan plastik kat sini memang hot items la..payah jumpa berterabur merata2 sebab orang kutippegi jual.
Bestnya…dulu buat pengkelasan sampah kat rumah spt sisa makanan, botol kaca, botol plastik n paper…tapi bila pergi ke pusat kitar semula dia cuma ambil paper ajer…botol kaca n plastik dia tak nak terima..lepas tu terus hampa dan tak buat lagi…nak kena buat semula lah n teach the kids kat rumah…
Sarina,
Haha..tu lah kan, kita punya ler berkobar-kobar nak buat kitar semula ni, tetapi sistem masih belum sempurna. Tetapi kat rumah aku dulu aku tengok abang2 lori sampah tu selalu asingkan sampah kertas, botol dan plastik untuk dijual semula rasanya. Jadi kita asingkan sampah-sampah kita, yang kertas boleh bawak pegi jual kat pusat kitar semula dan plastik dan botol biarlah abang lori sampah yang ambil dan pegi jual. Dapat ler sikit duit poket untuk diorang.
Wow..mula2nya ingat Waktu Berdiam itu tak boleh bercakap dlm waktu itu.. 3 jam! lamanya! Ooo.. rupa2nya tak boleh mengitar semula.. hahaha..
Yg bagusnya sistem kitar semula ini mengajar masyarakt supaya lebih berdisiplin dlm rutin hari2, sekiranya betul2 kena praktikkan. Saygnya di sini hari sabtu sahaja beg plastik kena byr, hari lain diberikan percuma, dah la byk sebb brg2 diasingkan. Sgt tidak praktikal bg memelihara alam sekitar.
Good article bro!
Su,
Waktu berdiam adalah waktu tida boleh membuat bising samada mengitar semula (terutama botol yg bila dikumpul akan berbunyi apabila berlaga) atau sebarang bunyi lain tak kira dari tv, percakapan, alat muzik, memasak, anak-anak menangis, ketawa dengan kuat dan sebagainya yang boleh mengganggu jiran anda. Sekiranya berlaku, pintu anda akan diketuk oleh jiran tersebut dan beliau akan membuat “complaint” atau polis terus datang memberi amaran. Sekiranya perkara ini terus berlaku, anda boleh di saman di mahkamah, kerana perkara ini sudah tertera di dalam kontrak penyewaan rumah anda. Tak kira samada anda tinggal di apartment, rumah sesebuah, townhouse dan sebagainya. Orang Jerman sangat mementingkan kualiti di dalam kehidupan seharian mereka.
Disini kebiasaannya anda akan dapat lihat orang akan membawa beg plastik yang sama sehingga lusuh dan koyak barulah dibeli beg plastik yang baru. Sekiranya barang yang dibeli satu atau dua sahaja dan boleh dipegang atau dibawa dengan tangan begitu sahaja, mereka tidak akan menggunakan beg plastik.
Thank you. Glad that i can share.
Salam KhairulAbdullah,
Contoh yg baik dr negara maju… waktu diam tu mmg unik π Pengelasan tong sampah tu pernah dibuat di Malaysia, tapi skrg mcm senyap je…penguatkuasaan tak konsisten… sikap rakyat Msia pun sukar utk diubah…setuju tak?
Negara yg maju biasanya lebih berdisiplin, hrp negara kt boleh mengambil contoh yg baik ni π
Setuju. Kerenah rakyat kita yang dari pelbagai bangsa dengan sikap masing-masing yang sudah sebati. Ditambah lagi dengan bangsa asing yang pengotor tu.
Namun kena juga ingat yang negara maju seperti Jerman sudah 100 tahun di hadapan kita. So insyaallah negara kita juga akan maju dan berjaya nanti. Aminnnnn.
Insya’Allah, anak buah sy akan ke German dlm bulan 3 ni… further study di sana… π
Oh ye ke. Baguslah tu. Kalau dia di Frankfurt dan ada masalah boleh cari saya. Insyaallah saya akan bantu.
assalam khairul..bestnya jika dimalaysia sistem kitar semula spt ini dpt dilaksanakan !!!..kerana kita masih tak mampu utk mengitar sampah yg begitu banyak !!..hu2x..
Mama,
Sistem kitar semula ini wujud di Malaysia, dan sikap untuk mengitar semula juga ada pada rakyat Malaysia, cuma sistem tersebut masih baru, terlalu longgar, kurang promosi, kurang penekanan dan sebagainya. Its gonna take some times, insyaAllah…ia juga akan menjadi seperti Jerman satu hari nanti.
Assallammualaikum
Seronok baca artikel ni & kagum dengan sistem kebersihan serta mentaliti rakyat di sana..
How i wish its the same thing here in Malaysia.. hehe
Wsalam Puan Ayu,
Terima kasih kerana singgah dan membaca blog saya. Sistem kebersihan dan kitar semula di sini memang sangat baik – ini kerana Jerman adalah negara maju dan berada 100 tahun di hadapan kita. InsyaAllah – give malaysia another 50-100 years, kita juga akan jadi seperti mereka π That time, your wish will come true.
Namun, sikap manusia adalah faktor utama – di malaysia, semua kaum ada sifat masing-masing dan juga pendekatan yang berbeza terhadap sampah. Tambah pulak dengan pendatang asing yang gemar membuang sampah ikut cara negara mereka. Memang agak sukar sebenarnya untuk menjaga tahap kebersihan ni, hanya boleh – dengan cara enforcement spt di singapore. Tidak seperti di jepun – budaya dan sikap mereka adalah pembersih, jadi tak perlu enforcement yang kuat. (Untuk rekod – Jepun adalah negara paling bersih yang pernah saya lawati)
Jadi…for the time being, marilah kita didik anak2 kita untuk melupuskan sampah dengan betul seperti yang diajar kepada anak2 kecil di jepun.
saya sokong kempen 3R.
saya pun akan sokong kempen 3r.
saya pun akan sokong kempen 3r.
Di Malaysia pun ada tapi macam hidup segan mati tak mahu je..
Tiada disiplin, tiada sokongan dan tiada penguatkuasaan.
Apa2 pun semuanya bermula dari diri sendiri.
Saya & keluarga memang dah lama mengamalkan mengumpul barang2 yg boleh kitar semula untuk dijual. Anak2 pun seronok sebab mereka boleh dapat duit bila dijual..walaupun tak banyak.
Orang selalu perlekehkan tapi kalau semua orang begitu, sampai bila kita nak maju? Setakat baca artikel2 macam ni dan rasa kagum je…tapi tiada tindakan!
Thanks KA…memang artikel yang sangat menarik dan perlu dicontohi.
Twin,
Di sini penguatkuasaanya mudah sahaja, sampah tak asingkan maka lori tak kutip. maka busuklah apartment atau rumah anda. Jadi nak bersih..asingkan betul2.
Tahniah saya ucapkan kpeada puan sekeluarga kerana mengamalkan kitar semula.
Danke….maklumat ni sngt membantu saya utk siapkn assignment german mengenai kitar semula
Gerne! π
Kita sepatutnya ikut contoh yang baik walaupun ianya dari luar negara
Betul tak tuan
Contoh yang baik eloklah kita ikut tak kisahlah dari negara mana sekalipun.
Sebelum ini baca mengenai kitar semula di sebelah United Kingdom sana (saya lupa negeri yang mana), kali ini apabila baca kitar semula di Jerman pula.
Negara maju pemikirannya memang maju dan sangat menjaga kebersihan. Patutnya itulah yang perlu dilaungkan di sini, nak jadi negara maju, kena jadi pembersih. Bukannya negara maju diukur dengan prasarana canggih.
Kalau negara maju tapi sikap rakyat tidak ikut maju maka takde maknanya kan?
Assalamualaikum encik khairul abdullah… saya nak minta izin ambil artikel encik untuk pembentangan subjek alam sekitar. harap tuan izinkan. saya akan letakkan link blog tuan sebagai reference dan credit. tq tuan. jazkallah khayr
Waalaikumsalam, silakan dan good luck for the presentation.
idea yang bernas. facebook brought me here
Thanks for dropping by π
Assalam… bagaimana nak lupuskan gelas dan cawan2 lama ?
Waalaikumsalam.
Terima kasih kerana menghubungi saya. Barangan kaca atau gelas adalah barangan yang boleh dikitar semula 100%. Tidak seperti plastik yang mana sebahagiannya tidak boleh dikitar semula, kaca atau gelas boleh dikitar semula sepenuhnya.
Makcik perlu asingkan setiap jenis kaca mengikut warna, kalau botol hitam satukan sekali yang hitam semuanya. Kalau kaca jernih sekalikan semuanya juga dan seterusnya. Kerana proses peleburan kaca akan mengekalkan warna asalnya.
Selesai asingkan mengikut warna maka makcik boleh pergi ke pusat kitar semula berhampiran rumah makcik. Ini makcik kena carilah kat mana, saya pun tidak tahu kat mana makcik tinggal, InshaAllah mereka akan menerimanya malah membeli barangan kaca tersebut dari makcik.
Semoga niat makcik untuk mengitar semula barangan kaca dipermudahkan oleh Allah serta diberikan ganjaran pahala berlipat ganda kerana membantu memelihara alam sekitar. Aminn.
Tahniah dan syabas…mak cik suka baca artikel awak ni….terima kasih……