Gembira saya hari ini melihat baby Khaleed sudah mula berjalan.
Sudah 5 langkahnya.
Saya sentiasa menjadi orang pertama melihat anak-anak memulakan langkah pertama. Kalau cerita pada ibunya maka dia akan teruja untuk balik cepat nak tengok anak berjalan.
Reaksi pertama biasanya dia akan menjerit.
Penuh dengan kegembiraan diwajahnya lalu dipeluk-peluk dan dicium anak-anaknya, penuh kasih sayang. Lepas tu macam-macam rancangannya hendak bawak anak-anak keluar berjalan.
Tapi, kali ini dia dah tak ada untuk meraikan momen-momen indah anak-anak.
Saya gundah apabila mengenang semuanya.
Tadi siang, saya turut beremosi ketika makan tengahari berseorangan di restoran kegemarannya. Tak lepas hendak telan suapan pertama.
Semuanya tersekat di kerongkong.
Terbayang dia ada di hadapan tersenyum gembira membuatkan saya hiba. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Sudah 3 bulan saya makan berseorangan.
Sunyi dan kosong.
Namun tidak dapat memberitahu dia yang anak bongsunya ini sudah mula melangkah dan akan berlari membuatkan saya rasa tidak sempurna.
Tidak sempurna kerana tidak dapat berkongsi gembira.
Petang tadi pula berkejaran ke sekolah mengambil anak-anak kerana Khaleef demam kuat. Risau apabila nampak dia menangis, badannya panas.
Rasa hendak telefon ibunya.
“Yang, Khaleef demam kuat, I on the way bawak dia balik ni. Kalau boleh you balik cepat na.”
Terbayang betapa kelam kabut dia menangani sakit anaknya setiap kali.
Begitulah.
Kita dicipta untuk saling berkongsi rasa.
Kalau disimpan semua rasa silap-silap boleh jadi gila. Kisahkanlah dan luahkanlah pada yang rapat dan boleh mendengar. Moga lega apa yang terbuku di dada.
Mujur saya ada kalian yang sudi mendengar kisah dan rasa kami sekeluarga.
Terima kasih semuanya.
.
Khairul Abdullah
#diariseorangsuperdaddy







Leave A Reply