Pesanan untuk ibu bapa yang bawa anak ke taman permainan – perhatikanlah anak anda bermain dan jangan asyik main telefon sahaja.
Anak-anak bila bermain dan terlebih seronok macam-macam boleh berlaku, maklumlah budak-budak kan. Ada anak yang sangat baik, ada yang sangat mudah berkawan, ada yang jenis garang dan ada jenis yang suka “buat orang”.
Kebanyakan yang jenis baik-baik ni, ibu atau bapanya jenis interaktif dan selalu berkomunikasi dengan anak-anak ketika mereka bermain.
Bagi yang jenis mudah mesra dan mudah berkawan, ibu bapa mereka juga sebegitu. Sangat murah senyuman dan boleh menegur dan bersembang dengan sesiapa sahaja.
Yang jenis garang dan suka “buat” atau buli budak-budak lain ni ibu bapanya jenis duduk sorang-sorang dan belek handphone sampailah waktu nak balik barulah cari anak dia di mana. Ataupun jenis tak nampak batang hidung langsung, dibiarkan anak datang bermain seorang diri.
Ini cuma pemerhatian rambang saya ketika membawa anak bermain saban minggu. Mungkin bukan semuanya begitu tetapi ada yang begitu.
Petang tadi pun ada terjumpa ibu bapa yang begini. Dibawa anaknya berusia sekitar 5-6 tahun bermain namun ditinggalkan sahaja. Ibunya sibuk mengadap telefon sambil membelakangkan anak yang bermain. Jadi saya tengok si anak ni habis dibulinya semua budak-budak lain.
Saya hanya mampu jeling, besarkan mata dan cakap “haipp” dengan senyuman sahaja. Marah lebih-lebih nanti ada yang bergaduh pulak. Si ibu tidak tahu apa-pun yang berlaku kerana asyik dengan telefon dan tiada inisiatif ingin ambil tahu pun.
Ramai juga anak-anak yang baik, semestinya diasuh sebegitu oleh ibu bapa yang baik. Ada 2 orang kanak-kanak perempuan sekitar 6-7 tahun bermain rollerblade di sekitar kawasan tersebut sentiasa memerhatikan kanak-kanak lain yang bermain. Jika ada budak terjatuh, atau bergaduh maka mereka berdua akan membantu.
Bagai si kakak besar, jika yang terjatuh maka dibantu mereka bangun dan di sapu kekotoran di lutut dan tangan. Jika ada kanak-kanak lain yang terhantuk kepalanya maka mereka datang mengusap kepalanya.
Seronok tengok anak-anak kecil yang lebih bertanggungjawab dari seorang ibu yang membiarkan anak bermain tanpa pengawasan langsung.
Bukannya kita hendak mencampuri urusan anak bermain kerana bermain dan bersosial adalah skil yang perlu mereka pelajari. Tetapi perhatikanlah mereka kerana kita tidak tahu apa yang mungkin terjadi. Berkemungkinan terjatuh buaian, atau dibuli oleh budak lain atau membuli budak lain dan sebagainya.
Kalau jatuh sikit-sikit kita biarkan mereka bangun sendiri, kalau ada pergaduhan kecil akibat berebut sesuatu, perhatikanlah dahulu dan biarkan mereka selesaikan. Namun jangan terlepas pandang.
Sesaat kita terlepas pandang mungkin ada kemalangan yang akan membuatkan kita menyesal seumur hidup.
Jadi, awasilah anak-anak ketika mereka bermain dan bersosial.







Leave A Reply