Dulu waktu cuti sekolah, bertolak nak balik kampung pagi lagi, sampai rumah dah petang. Maklumlah nak kena 4 kali tukar bas baru sampai. Seharian dihabiskan di jalan sahaja.
Kalau tak silap tambang keseluruhan adalah sekitar RM6.50 dari sekolah sampailah depan rumah. Kalau ada RM10 maka baki sedikit tu dapatlah beli buah tangan untuk adik-adik di rumah.
Biasanya beli buah limau atau epal yang dijual secara longgok. Dalam 2-3 ringgit dapatlah satu plastik untuk dibawa pulang.
Sepanjang perjalanan memang tak makan atau minumlah. Tahan lapar sebab bajet duit untuk beli buah tangan. Lagi satu sebab nanti nak makan puas-puas masakan mak. Maklumlah balik cuti cuma 2-3 kali sahaja setahun. Jadi biar berlapar dahulu.
Ada satu kali tu, tengah siap-siap nak keluar sekolah, ternampak kawan sekampung yang sedang dijemput oleh ayahnya.
Ayahnya tegur, nak balik sekali tak?
Saya dengan gembiranya menerima pelawaan tersebut. Maklum sahajalah, duit ada cukup-cukup untuk tambang sahaja. Kalau dapat tumpang ni maka bolehlah beli sesuatu untuk adik-adik.
Maka bertolaklah kami pulang ke kampung.
Sesampai di laman rumah ketika mengeluarkan beg dari bonet, ayahnya meminta tambang sebanyak RM9. Saya tergamam sebentar. Duit hanya ada RM6 lebih kurang.
Saya tidak menyangka yang saya perlu membayar tambang. Saya ingatkan saya ditumpangkan untuk balik sekali memandangkan kami sekampung.
Rupa-rupanya tidak.
……….
Kisah tersebut masih segar dalam ingatan saya sampai ke hari ini. Waktu itu kami orang susah. Bagi saya setiap sen sangat bermakna, selagi boleh jimat saya akan jimatkan. Selagi boleh saya tidak akan meminta pada mak dan abah.
Bila terpaksa meminta mak untuk selesaikan baki bayaran “tambang” tersebut saya merasa kecewa. Saya ingatkan bila orang tahu kita susah, orang ajak tu maknanya orang nak menolong, namun sebaliknya.
Namun tak mengapalah. Ianya memberi pengajaran kepada saya untuk tidak melakukan perkara yang sama.
Jangan ambil kesempatan terhadap orang yang susah. Sekiranya kita dipihak yang boleh membantu maka bantulah. Jangan berkira wang ringgit.
Bagi yang pergi menjemput pulang atau menghantar kembali anak ke asrama, tumpangkanlah rakan-rakan sekolah mereka yang memerlukan dan tambahkan wang saku mereka sekiranya kita mampu.
Semoga anak-anak yang sedang menuntut ilmu ini mendoakan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.







Leave A Reply