Orang kata saya kuat. Orang kata saya tabah. Itu apa yang orang nampak di hari pengebumian isteri saya. Apa yang nampak di depan tidak semestinya sama seperti di belakang.
Saya juga manusia.
Bohonglah kalau saya tidak berduka, bohonglah kalau saya tidak menderita. Saya rebah, saya luluh, saya berduka.
Cumanya saya lontar jauh duka lara saya di hadapan tetamu yang bertali arus datang menziarahi isteri saya.
Apabila menerima salaman dan pelukan, dada saya bergetar seperti hendak meletup. Ingin saya peluk erat dan menangis sekuatnya.
Namun bila mata bergenang dan esakan kecil baru bermula maka semua akan berkata, tabah dan bersabarlah, usahlah menangis kerana sudah takdirnya begitu.
Memang benar, saya bersabar, saya bertabah. Memang sudah ditakdir begitu. Bukannya menangis itu untuk menafi takdir yang sudah tertera. Namun menangis itu adalah keinginan untuk melepas rasa yang membungkam jiwa.
Tidak sesekali air mata dan tangisan dicipta untuk disekat kemahuannya.
Biarlah saya menangis, biarlah saya melepas rasa kerana selepas tangisan ada kelegaan dan kelapangan besar di dalam dada.
Tangisan sebenarnya membuatkan saya lega dan menjadi kuat dan tabah serta lebih redha dengan ketentuannya.
Pesan saya, jika ada rakan kalian yang ingin menangis, maka tariklah dia ke penjuru dan menangislah bersama. Sesungguhnya di dalam tangisan itu ada kelegaan yang amat besar bagi mereka yang dilanda musibah.
Menangislah.







Leave A Reply