Abang ada pengalaman seharian bersama penduduk sebuah kampung yang terletak di tepi sungai. Abang ke kampung tersebut bersama beberapa orang rakan dari sebuah badan sukarelawan untuk menjayakan sebuah program untuk kebaikan para penduduk.
Kampung tersebut merupakan sebuah kampung “ihsan” di mana hampir kesemua penduduk kampung adalah dari kalangan orang miskin tegar yang dipilih dari sekitar daerah tersebut dan diberikan sebuah rumah batu 3 bilik untuk setiap keluarga. Perkampungan seperti taman perumahan tersebut di bina di atas tanah rezab sungai milik kerajaan.
Kawasan perumahan mereka dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, sistem perparitan dan sebagainya. Terdapat sekitar 25 keluarga mendiami perkampungan ihsan tersebut. Program pertanian seperti penternakan ikan dalam sangkar, tanaman sayur turut dijalankan bagi menambah pendapatan penduduk.
Semua rumah batu tersebut ditaja oleh beberapa buah syarikat penerbangan negara dan infrasturkutur lain turut ditaja oleh pelbagai agensi serta NGO. Agak cantik rumah yang diberikan dengan pemandangan yang cantik di tepi sungai.
Itu cerita ketika mula-mula setiap keluarga berpindah masuk ke kampung tersebut. Abang dan rakan-rakan menjejakkan kaki ke kampung tersebut beberapa tahun kemudian.
Ketika program dijalankan, abang dapat lihat yang penduduk yang rata-rata masih muda di mana yang dewasa berusia sekitar 30-40an dan masih sihat serta kanak2 masih bersekolah di sekolah rendah kebanyakannya.
Program diteruskan seperti dijadualkan dan berjalan agak kurang lancar, namun ketika kami dibawa melawat ke kawasan kampung maka bermulalah cerita-cerita dan insiden yang membuatkan abang termenung panjang.
Kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan diiringi oleh kumpulan-kumpulan kecil penduduk. Abang dibawa oleh kumpulan 5 orang kakak bersama 2 orang abang yang rata-ratanya berusia lingkungan awal 40an.
Agak sedih mulanya melihat keadaan perkampungan tersebut dengan rumah yang tidak terjaga dan nampak buruk. Longkang yang bertakung dan busuk. Sampah berselerakan di jalanan. Longgokan sampah di hujung kampung yang bertimbun dan macam-macam lagi.
Abang pula kini dah jadi seperti seorang wakil rakyat, mendengar keluh kesah mereka. Antaranya:-
*Nyamuk banyak.
*Pokok besar di belakang rumah bahaya sebab dahan patah bila angin kuat boleh jatuh timpa rumah.
*Longkang sering tersumbat dan air bertakung, busuk dan nyamuk banyak.
*Tiada tempat buang sampah.
*Anjing, lembu, kerbau sering masuk kampung sebab tiada pagar.
*Dan seribu satu macam lagi.
Namun abang tertarik dengan sebuah rumah, yang nampaknya amat berbeza dengan yang lain. Cantik, kemas dan sangat bersih. Jauh sangat beza dengan kebanyakan rumah yang lain.
Lalu abang pun tanya kepada semua kakak-kakak tadi seorang demi seorang. “Akak ni anak berapa orang?” dan setiap seorang pun menjawab, ada yang 2 orang, ada yang tiga, ada yang belum ada anak dan sebagainya.
Abang bertanya lagi ” Itu rumah siapa?” “Ohhh itu rumah Akak XXXX” jawab salah seorang akak. “Akak tu takde anak ke?” soal saya lagi.
“Ishhh..Akak XXXX tu anak empat, 2 bersekolah, dua masih kecil lagi” ujar salah seorang dari mereka.
Abang pun mendekati rumah tersebut dan tengok dengan lebih dekat. Longkangnya bersih, belakang rumahnya juga bersih, kemas dan tersusun. Ketika itu, Akak XXXX bersama kumpulan lain.
“Kenapa rumah akak ni bersih dan kemas eh?” soal saya kepada mereka.
“AKAK XXXX TU RAJIN!” jawab dua atau tiga suara serentak.
Abang tersenyum tawar.
Tamat cerita.
………………………………………………………
Bukan abang nak bercerita pasal orang miskin. Namun bercerita mengenai sifat malas yang menjadikan kita miskin. Abang dulu orang susah dan boleh kira miskin juga. Makan nasi berlauk garam tu perkara biasa. Mak dan abah abang menoreh getah, bila cuti sekolah abang pun menoreh getah. Kalau kami sekeluarga malas maka sudah pasti kami akan susah sampai ke hari ini.
Berbalik kepada cerita kampung tadi. Abang sedih, sangat sedih sebenarnya melihat orang kita yang tidak mahu berubah. Diberikan rumah yang cantik, namun tidak dijaga. Diberikan projek menambah pendapatan tetapi cuma disusahakan dengan sembang di kedai kopi sahaja. Diberikan sangkar ikan untuk sama-sama buat projek, namun lingkup entah kemana. Katanya bergaduh sebab berebut sangkar ke apa entah.
Kemudian abang yang dah jadi “wakil rakyat terjun” ini dipujuk untuk membantu dapatkan lagi bantuan kewangan untuk penduduk. bantuan buat projek lain pula, bantuan buat pagar, bantuan bersih parit, bantuan angkut sampah, bantuan tebang pokok, bantuan halau nyamuk dan sebagainya.
Abang termenung.
Rumah dan kampung dah diberi percuma. Tiada majlis bandaran atau daerah yang nak masuk jauh ke dalam kampung untuk kutip sampah. Longkang tepi rumah tersumbat akibat sendiri pun nak mintak orang lain tolong bersihkan. Pokok di belakang rumah nak tumbang pun kena orang lain tolong tebangkan. Macamana tu?
Tidakkah mereka duduk sekampung terdiri dari sekurang-kurangnya 20 orang lelaki dewasa yang masih kuat tidak dapat berkerjasama?. Tidak dapatkah mereka bersama-sama mencangkul dan korek lubang untuk buat tempat buang sampah yang lebih baik? Tidak dapatkah mereka bersama-sama menebang buluh atau pokok kayu kecil dan bersama-sama memagari kawasan perumahan mereka? Tidak dapatkah mereka buat gotong royong sebulan sekali untuk bersihkan seluruh kampung yang hanya terdiri 2 baris rumah?
ENTAHLAH…I Dont Know!
Bila abang tanya, salah seorang dari mereka menjawab mudah. Malas! dan tidak ada masa.







Leave A Reply