Ada kisah seorang lelaki berkata kepada isterinya di dalam sebuah majlis.
“Yang, nak pahala tak?” tanya suaminya dengan kuat di mana semua tetamu di dalam majlis tersebut dapat mendengarnya dengan jelas.
“Err…nak” jawab isterinya serba salah.
Lalu si suami dengan suara yang kuat mengarahkan isterinya untuk mengambil kopi untuk beliau, sambil menerangkan kepada kami semua yang seorang isteri amatlah mudah untuk mendapatkan pahala dengan hanya memberi minum kepada suami.
Kelihatan wajahnya agak “frust” namun dibawakan juga kopi untuk suaminya. Si isteri adalah seorang pegawai besar di kalangan tetamu di dalam majlis tersebut.
Tindakan suami tidaklah salah.
Namun di majlis yang formal di mana isterinya adalah seorang yang dihormati, tidak perlulah si suami secara keterlaluan menunjukkan autoritinya.
Boleh sahaja pergi kepada isteri atau panggil isteri dengan lembut dan bisik perlahan dan mintalah kopi atau apa sahaja yang diingini. Suami isteri dapat pahala dan air muka isteri pun dapat dijaga, ye tak?
Kisah lain.
Ada seorang kakak dan suaminya pernah menumpang bermalam di rumah saya. Saya tidak mengenali mereka namun dengan niat untuk membantu saya mempelawa mereka bermalam.
Usai makan malam, kakak tadi berkata kepada saya.
“Untunglah, awak nak juga masuk dapur, nak juga cuci pinggan sendiri. Suami akak tu memang tak pernah masuk dapur”, ceritanya kepada saya.
“Kalau akak demam atau sakit teruk pun, pinggan mangkuk, kain baju segalanya akak perlu buat juga”, tambahnya lagi.
Si suami tidak sesekali akan melakukannya. Usai makan pun, pinggan ditinggalkan di atas meja sahaja, walaupun bertamu di rumah orang dan bukan rumah sendiri.
Si isteri akan uruskan segalanya. Suaminya adalah raja.
Baguslah, isterinya dapat banyak pahala.
Tetapi takkanlah si suami tidak boleh membantu langsung? Takkanlah ketika isteri sakit pun, masih tidak mahu masuk ceruk dapur? Kalau ada bibik tu lain ceritalah.







Leave A Reply